Addendum: Mahkamah rayuan tetapkan 5 Disember dengar rayuan Najib

Najib
Najib
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Disember ini untuk mendengar rayuan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonan bagi memulakan semakan kehakiman untuk mencabar kewujudan titah addendum.

Addendum itu didakwa dititah oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 bagi membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly@Arwi ketika mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

Pada 3 Julai lepas Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan Najib, 71, untuk memulakan prosiding semakan kehakiman ke atas lapan responden bagi mencabar kewujudan titah addendum itu, selepas berpendapat empat afidavit bagi menyokong permohonan Najib, termasuk oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail adalah bersifat dengar cakap atau khabar angin.

Najib kemudiannya menfailkan notis rayuan pada 9 Julai.

Beliau menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Pesuruhjaya Penjara, Peguam Negara, Lembaga Pengampunan bagi Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan serta Putrajaya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Ketua Pengarah Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang di JPM serta Kerajaan Malaysia sebagai responden dalam permohonannya.

Menerusi permohonan yang difailkan April lepas, Najib, memohon perintah mandamus bagi memaksa sama ada semua atau satu daripada responden, menjawab dan mengesahkan kewujudan dekri tambahan itu yang bertarikh 29 Januari tahun ini.

Beliau turut memohon perintah mandamus bahawa jika dekri tambahan itu wujud, kesemua atau satu daripada responden harus menguatkuasakan ia serta-merta dengan memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara sebagai tahanan di rumah.

Artikel Berkaitan:

Najib telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng RM42 juta dana milik SRC International Sdn Bhd.

Pada 2 September 2022, beliau memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja dan Lembaga Pengampunan telah mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!