Polis selesaikan kes bunuh lelaki warga Pakistan kurang 24 jam

Laporan Sinar Harian (Hamzah)
Laporan Sinar Harian (Hamzah)
A
A
A

GEORGE TOWN - Enam lagi individu termasuk seorang lelaki yang dipercayai suspek utama kes bunuh seorang lelaki warga Pakistan di sebuah kedai buah di Pulau Tikus ditahan dalam dua serbuan berasingan pada Selasa.

Serbuan dilakukan Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada jam 12 tengah hari di sebuah rumah di kawasan Tanjung Tokong berjaya menangkap seorang lelaki serta seorang wanita yang dipercayai terlibat dengan kes berkenaan.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Hamzah Ahmad berkata, hasil soal siasat dijalankan terhadap tangkapan membawa kepada serbuan kedua juga di sebuah rumah di kawasan Tanjung Tokong sebelum menahan suspek utama kes berkenaan yang berusia 38 tahun.

Menurutnya, dalam serbuan pada jam 12.55 tengah hari itu polis turut menahan tiga lelaki warga tempatan yang merupakan rakan suspek bagi membantu siasatan.

"Dengan tertangkapnya suspek utama maka kes pembunuhan ini berjaya diselesaikan polis dalam masa kurang 24 jam selepas menerima laporan kematian.

"Kesemua suspek yang ditahan akan direman dan kes akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,"katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.

Sebelum itu, Sinar Harian melaporkan polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita bagi membantu siasatan kes bunuh yang membabitkan seorang lelaki warga Pakistan dalam kejadian di sebuah kedai buah di Pulau Tikus pada Isnin.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Superintenden Lee Swee Sake berkata, kesemua mereka berusia 22 hingga 58 tahun itu ditahan dalam beberapa serbuan berasingan di negeri ini pada pagi Selasa.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik, pekerja kedai buah serta pemilik kedai motosikal yang terletak bersebelahan dengan kedai buah tersebut.

Pada Isnin media melaporkan seorang lelaki warga Pakistan maut selepas ditikam lelaki disyaki warga tempatan dalam kejadian di Pulau Tikus.

Kejadian berlaku pada jam 5 petang dan mangsa berusia 48 tahun yang cedera parah telah dibawa ke sebuah klinik swasta di Jalan Datuk Keramat untuk mendapatkan rawatan.

Bagaimanapun, lelaki itu dilaporkan meninggal dunia ketika menerima rawatan kira-kira jam 6 petang sebelum mayatnya dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!