'Pergiat program banteras jenayah rasuah secara aktif' - Ali Imran

Malaysia masih mempunyai banyak kes melibatkan jenayah suapan sekali gus berkemungkinan sukar untuk mencapai target yang diletakkan kerajaan - Gambar hiasan
Malaysia masih mempunyai banyak kes melibatkan jenayah suapan sekali gus berkemungkinan sukar untuk mencapai target yang diletakkan kerajaan - Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan perlu mempergiat program membanteras jenayah rasuah dengan penglibatan masyarakat secara aktif jika mahu mencapai kedudukan 25 teratas dalam Indeks Pembangunan Manusia dan Indeks Persepsi Rasuah.

Ahli Majlis Tertinggi Rasuah Busters Pahang, Ali Imran Hassan berkata, walaupun berdepan hakikat yang sukar namun Malaysia semakin serius memerangi jenayah rasuah.

“Ia bukan mustahil, tetapi juga tidak mudah. Malaysia sudah ada asas ekonomi yang kuat cuma masalah suapan perlu diselesaikan segera.

“Kalau betul ada usaha jangka panjang dan ketegasan membanteras, Insya-ALLAH boleh tercapai dengan syarat semua pihak harus memainkan peranan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, kerajaan menyasarkan Malaysia dapat mencapai kedudukan 25 teratas dalam kedua indeks tersebut tidak lama lagi.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia mampu dicapai menerusi pelaksanaan Dasar Sosial Negara (DSN) 2030 yang turut menjadi garis panduan mencegah lambakan jenayah sejak kebelakangan ini.

Dalam pada itu, Ali Imran berpendapat, Malaysia masih mempunyai banyak kes melibatkan jenayah suapan, sekali gus berkemungkinan sukar untuk mencapai target yang diletakkan kerajaan.

“Isu rasuah masih menebal dan boleh menjadi penghalang yang besar, jadi ia perlukan usaha berterusan serta bukan sekadar cakap kosong.

Artikel Berkaitan:

“Saya anggarkan mungkin 50 hingga 60 peratus usaha banteras telah dilakukan, kerajaan sudah banyak usaha tetapi masih ada kes rasuah besar yang belum selesai serta ruang untuk diperbaiki,” jelasnya.

Tambah beliau, berkaitan kesedaran dalam kalangan masyarakat, pihak berwajib perlu memberi fokus kepada golongan terpinggir.

“Boleh sediakan sokongan sosial untuk golongan tersebut terutamanya apabila berdepan dengan kos sara hidup yang mungkin menyebabkan mereka memerlukan wang,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!