TUDM nafi gegaran di Ipoh berpunca daripada ledakan sonik

Laporan Sinar Harian
Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) pada Selasa menafikan bunyi dentuman dan gegaran yang berlaku di sekitar Ipoh, Perak pagi semalam berpunca daripada dentuman sonik (sonic boom) pesawat pejuang tentera.

Bahagian Perhubungan Awam TUDM menerusi kenyataan hari ini memaklumkan tiada sebarang penerbangan pesawat pejuang TUDM mahupun pesawat asing yang dikatakan menceroboh ruang udara negara di sekitar kawasan dan masa kejadian tersebut.

"Pihak TUDM meminta semua pihak agar tidak membuat sebarang spekulasi dan menyerahkan sepenuhnya kepada pihak Polis Diraja Malaysia untuk melaksanakan siasatan dan mengenal pasti punca sebenar kejadian,” menurut kenyataan itu.

Semalam, Ketua Polis Perak Datuk Azizi Mat Aris berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian terbabit pada 11.06 pagi dan semakan dengan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA), Ulu Kinta mendapati tiada latihan berkaitan letupan pada hari berkenaan.

Sementara itu, semakan dengan Pejabat Tanah Dan Galian (PTG) juga mendapati tiada letupan yang dijalankan di mana-mana kuari sebelum 12 tengah hari semalam.

Hasil semakan dengan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mendapati tiada sebarang aktiviti seismik di daerah Kinta walaupun gempa bumi dilaporkan berlaku di Halmahera, Indonesia, 11.24 pagi hari kejadian. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!