Angkatan Mahasiswa UniSZA gesa kerajaan kurangkan yuran golongan B40
SHAH ALAM - Kerajaan digesa untuk mengutamakan pengurangan yuran pengajian pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah (B40).
Angkatan Mahasiswa Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dalam satu kenyataan berkata, gesaan tersebut dilakukan susulan beban kewangan semakin meningkat dengan kos sara hidup yang melambung tinggi.
Menurutnya, keadaan itu memaksa ramai mahasiswa melakukan kerja sambilan sehingga mengakibatkan tumpuan mereka dalam pelajaran terjejas.
“Pengurangan yuran pengajian adalah satu-satunya cara untuk meringankan beban dan memberi peluang kepada kami untuk menumpukan sepenuh perhatian kepada pendidikan.
“Kami mencadangkan agar pengurangan yuran ini dilaksanakan secara berperingkat berdasarkan pendapatan isi rumah dengan fokus utama kepada keluarga B40 terendah,” kata kenyataan itu pada Selasa.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam Belanjawan Madani 2025 mengumumkan subsidi pendidikan bagi golongan maha kaya (T15) akan dikurangkan secara berperingkat.
Daripada penjimatan itu, Anwar yang juga Menteri Kewangan memaklumkan dana tersebut boleh digunakan bagi menambah baik prasarana institusi pengajian tinggi untuk manfaat semua pelajar.
Mengulas lanjut, Angkatan Mahasiswa UniSZA berkata, alasan yang digunakan kerajaan tidak boleh diterima kerana ia telah mengorbankan kebajikan mahasiswa demi bangunan dan kemudahan semata-mata.
Jelasnya, setiap tahun pihak universiti menerima peruntukan yang besar untuk tujuan tersebut, jadi tidak wajar subsidi itu dikurangkan.
Dalam pada itu, kenyataan berkenaan turut menyentuh agar kerajaan mempertimbangkan cadangan pengurangan yuran pendaftaran dan semester pertama untuk pelajar B40.
“Kerajaan juga boleh mewujudkan dana khas yang dikhususkan untuk menampung sebahagian besar yuran pengajian mahasiswa itu (pelajar B40).
“Kerjasama erat antara Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), universiti awam dan swasta serta agensi pemberi pinjaman pendidikan adalah penting dalam merealisasikan cadangan ini,” ujar kenyataan itu.
Angkatan Mahasiswa UniSZA juga menyelar tentang ketiadaan pelan jangka panjang Menu Rahmah di universiti.
Sehubungan itu, persatuan pelajar berkenaan mencadangkan agar kerajaan memperkenalkan insentif khas kepada pengusaha kafe universiti yang menawarkan Menu Rahmah.
“Kami menggesa kerajaan tidak memandang remeh isu sekuriti makanan di kampus. Akses kepada makanan berkhasiat dan mampu milik adalah hak asasi setiap mahasiswa dan kerajaan perlu memastikan inisiatif ini dilaksanakan dengan berkesan di semua universiti.
“Pemantauan yang ketat juga perlu dijalankan bagi memastikan kualiti makanan dan harga ditawarkan itu berpatutan,” jelasnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!