Bobby Kertanegara, Si 'Kucing Pertama'

Si comel, Bobby yang kini semakin popular. Foto Agensi
Si comel, Bobby yang kini semakin popular. Foto Agensi
A
A
A

JAKARTA - Peralihan tampuk kepimpinan Indonesia menyaksikan Bobby Kertanegara turut menjadi 'penghuni' rasmi Istana Merdeka di Jakarta selepas majlis angkat sumpah jawatan, Presiden Kelapan, Prabowo Subianto pada Ahad lalu.

Warganet terhibur melihat gelagat kucing kesayangan Prabowo menerusi video yang dikongsikan di Instagram.

Bobby yang digelar 'Kucing Pertama' setia berada di sisi tuannya dalam beberapa acara rasmi dan menarik perhatian para tetamu khas serta VIP seperti taikun Indonesia, Anindya Bakrie, ahli politik Parti Gerindra, Dhani Wirianata dan penyanyi terkenal, Mulan Jameela.

Media melaporkan Bobby sebenarnya ialah kucing jalanan yang sering berkeliaran di sekitar kawasan kediaman Prabowo di Jalan Kertanegara IV, Jakarta Selatan.

“Bobby diselamatkan dan dinamakan sendiri oleh Prabowo mengikut nama jalan rumahnya,” lapor rangkaian berita Kompas.

Kucing berbulu hitam putih itu mula dikenali ramai pada 2018 setelah bekas Menteri Pertahanan itu memberi makan kepadanya di luar mesyuarat dalaman Parti Gerindra.

Gambar itu kemudiannya menjadi tular dan siapa sangka Bobby sudah mempunyai lebih 548,000 pengikut di Instagram.

“Bobby sangat manja. Ia adalah 'pemerintah' Jalan Kertanegara IV. Dia sentiasa menemani Prabowo ke mana sahaja termasuk ketika sesi mesyuarat,” ujar ahli Gerindra, Andre Rosiade.

Artikel Berkaitan:

Sehingga kini, Bobby tidak pernah terlepas apa jua mesyuarat rasmi bersama tuannya. - Agensi

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!