Polis buru geng warga asing samun bersenjata

Shan Gopal
Shan Gopal
A
A
A

SEPANG - Polis giat memburu kumpulan warga asing berparang dipercayai terlibat samun pecah masuk rumah di sini, baru-baru ini.

Pemangku Ketua Polis Daerah Sepang, Superintenden G K Shan Gopal berkata, kegiatan penjenayah bersenjata itu membabitkan modus operandi yang sama dalam kes di Persiaran Vista dan Jalan Sheikh Jalaludin di Bandar Baru Salak Tingi.

Katanya, kes pertama berlaku pada jam 3.30 pagi, 6 Oktober membabitkan mangsa dan ahli keluarganya telah diikat sebelum suspek melarikan wang tunai, barang kemas dan jam tangan.

"Kes kedua pada jam 1.30 pagi, 20 Oktober lalu turut mengakibatkan mangsa sekeluarga diikat dan juga kerugian wang tunai, jam tangan dan barang kemas," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Beliau berkata, siasatan awal suspek dipercayai warga asing bergerak tiga hingga empat orang.

Menurutnya, suspek bertopeng dan berpakaian gelap yang menggunakan parang menyasarkan rumah berhampiran dengan kawasan hutan.

Tegasnya, usaha mengesan suspek sedang giat dijalankan untuk tindakan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat boleh salurkan kepada Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Thaqib Zulkafli di talian 013-2185758 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Sepang di talian 03-87774222," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!