Malaysia, India dan ASEAN kukuh kerjasama sektor penjagaan kesihatan

Lukanisman (tiga, kiri) melawat reruai pameran sempena Pameran Malaysia Pharma and Healthcare Expo 2024 di MITEC pada Selasa. Foto Bernama
Lukanisman (tiga, kiri) melawat reruai pameran sempena Pameran Malaysia Pharma and Healthcare Expo 2024 di MITEC pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerjasama antara Majlis Perniagaan Malaysia-India dan Majlis Perniagaan ASEAN-India (AIBC) di Ekspo Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2024 menunjukkan komitmen Malaysia, India dan komuniti ASEAN bagi memupuk hubungan ekonomi khususnya dalam sektor penjagaan kesihatan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, cabaran yang dihadapi dalam beberapa tahun ini terutama semasa pandemik Covid-19, menekankan pentingnya kerjasama, inovasi dan infrastruktur penjagaan kesihatan yang kukuh.

"Hari ini kita berkumpul di bawah satu tema ‘Menginovasi Kesihatan untuk Semua’ yang selari dengan aspirasi bersama untuk sistem penjagaan kesihatan yang lebih inklusif dan responsif

"Ketika kita berada di saat sangat penting ini, kita perlu merebut peluang yang dibawa oleh kemajuan teknologi dan hasil penemuan penyelidikan, dengan sektor farmaseutikal dan kesihatan perlu berada di barisan hadapan bagi transformasi ini,” katanya ketika berucap di Ekspo Farmaseutikal dan Penjagaan Kesihatan Malaysia 2024 di sini pada Selasa.

Beliau berkata, pada 2022 nilai dagangan dalam sektor farmaseutikal dan peranti perubatan antara ASEAN dan India mencecah kira-kira AS$3 bilion (RM12.97 bilion) dengan Malaysia memainkan peranan penting dalam perubahan dinamik ini.

"Kerjasama ini bukan sekadar statistik, sebaliknya ia mencerminkan kehidupan yang bertambah baik, perkongsian inovasi dan mencipta peluang. Dengan bekerjasama kita boleh manfaatkan kekuatan yang ada untuk mewujudkan pasaran penjagaan kesihatan yang lebih berintegrasi dan responsif.

"Rakan utama dalam kerjasama ini ialah Kementerian Kesihatan (KKM) terutama melalui Pihak Berkuasa Peranti Perubatan dan ia bertujuan untuk memastikan peranti perubatan selamat, efektif dan boleh diakses.

"Kerjasama ini juga sangat penting kerana kita sedang menghadapi penjagaan kesihatan moden yang semakin kompleks dan berusaha untuk meletakkan Malaysia sebagai hab bagi teknologi perubatan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Ekspo tiga hari yang bermula esok dianjurkan oleh Genesis Global Exhibitions dan ACE Group, dengan Majlis Perniagaan Malaysia-India dan AIBC sebagai penganjur bersama, dan bertujuan untuk menarik lebih banyak syarikat farmaseutikal dan penjagaan kesihatan ke Malaysia.

Acara yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) itu menampilkan lebih 30 pempamer dari India Malaysia, Australia dan Singapura, selain dijangka menarik penyertaan daripada pemain utama dalam sektor farmaseutikal dan penjagaan kesihatan. -Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!