Belanjawan 2025 cetus iklim pelaburan berkualiti - MIDA

Sikh Shamsul Ibrahim
Sikh Shamsul Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Pengumuman rangkaian insentif seperti pelaksanaan Cukai Minimum Global (GMT) menerusi Belanjawan 2025 mampu meningkatkan daya saing komuniti perniagaan, menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan peluang baharu untuk menjana pertumbuhan ekonomi inklusif.

Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Sikh Shamsul Ibrahim Sikh Abdul Majid berkata, pelaksanaan GMT sebanyak 15 peratus di bawah 'Base Erosion and Profit Shifting (BEPS) Pillar 2' bermula 1 Januari 2025 dilihat penting dalam memastikan sistem percukaian di negara ini selari dengan sistem antarabangsa.

Menurut beliau, pihaknya selaku agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) akan terus bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MoF) untuk memastikan pelaksanaan GMT tidak menjejaskan pelaburan sedia ada.

Jelasnya lagi, MIDA turut menyokong cadangan mengkaji pelaksanaan Kredit Cukai Pelaburan Strategik kerana ia mampu meluaskan landskap fasilitasi pelaburan ditawarkan oleh kerajaan dan dijangka lebih menarik buat syarikat yang terjejas dengan pelaksanaan GMT.

"Belanjawan 2025 adalah langkah penting ke arah merealisasikan matlamat rangka kerja ekonomi Madani.

"Kami amat teruja dengan rangkaian insentif diumumkan yang akan meningkatkan daya saing komuniti perniagaan, menarik pelaburan berkualiti dan mewujudkan peluang baharu untuk menjana pertumbuhan ekonomi inklusif serta mampan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat dilapor turut memperkenalkan Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan yang dijangka membolehkan MIDA melaksanakan program membantu syarikat tempatan untuk menyertai pasaran.

Insentif itu merangkumi perbelanjaan perusahaan multinasional (MNE) sehingga RM2 juta setahun diberi potongan cukai dua kali selama tiga tahun berturut-turut, pembekal tempatan terlibat Ikhtiar Ketahanan Rantaian Bekalan dibekalkan pakej insentif cukai berasaskan keberhasilan dan dana padanan pelaburan lebih RM100 juta.

Artikel Berkaitan:

Sikh Shamsul Ibrahim memaklumkan, pihaknya juga menyambut baik insentif lain yang diperkenalkan menerusi belanjawan antaranya Kerangka Insentif Pelaburan Baharu; Dana Pelaburan Strategik RM1 bilion; Insentif Khas bagi Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) dan Pakej Galakan Cukai Zon Kewangan Khas Forest City (FCSFZ).

Selain itu, katanya, galakan cukai bagi aktiviti pemerangkapan, penggunaan atau penyimpanan karbon (CCUS); suntikan RM300 juta Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga Negara; cukai karbon ke atas industri besi serta penstrukturan cukai kenderaan elektrik (EV) yang sejajar dengan Strategi Pelaburan Hijau (GIS) dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).

Jelas beliau lagi, ia termasuk langkah memperkukuh sektor kesihatan dengan mengutamakan pembelian produk farmaseutikal dan peranti perubatan daripada syarikat yang melabur di Malaysia dan menggalakkan pelaburan dalam pengeluaran vaksin halal.

"Galakan Cukai Kompleks Logistik Pintar (SLC) juga bakal memperkukuh rantaian bekalan dan menarik lebih banyak pelaburan berkualiti melalui pengadaptasian teknologi maju dalam aktiviti logistik yang menggabungkan elemen kecerdasan buatan (AI), 'internet of things' (IoT) dan 'blockchain', menjadikan Malaysia hab logistik serantau menjelang 2030.

"MIDA diberi mandat untuk meluluskan pas penggajian graduan bukan warganegara lepasan universiti tempatan bagi membantu memenuhi keperluan tenaga mahir dalam usaha memacu inovasi di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

"Melalui inisiatif yang digariskan, MITI dan MIDA komited menggandakan usaha untuk memperkukuhkan daya saing negara di peringkat serantau serta antarabangsa," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!