Pakatan Nasional hanya bayangan: Fahmi

 Fahmi Fadzil
Fahmi Fadzil
A
A
A

SHAH ALAM - Spekulasi penubuhan Pakatan Nasional hanyalah sekadar bayangan atau pandangan yang dicipta pihak-pihak tertentu bagi mewujudkan kerajaan pintu belakang serta memperlekeh keupayaan kepimpinan sedia ada.

Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Fahmi Fadzil berkata, beliau melihat gerakan baharu itu tidak mungkin akan berlaku dan ia cuba digunakan pihak-pihak yang sedang mencari cara untuk mengelak diri daripada terkena musibah lebih besar melalui dakwaan di mahkamah.

"Jangan gunakan peluang untuk cari jalan keluar daripada hukuman yang bakal menanti mereka di mahkamah.

"Saya rasa rakyat tidak boleh terima apabila terlalu banyak pertuduhan kes di mahkamah secara terbuka dan jangan harap dengan mewujudkan satu gerakan baharu atau kerajaan pintu belakang, maka mereka akan terlepas," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.

Fahmi berkata, sebelum ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilihat sudah menyatakan pendirian bahawa beliau tidak akan mewujudkan satu kerajaan baharu dengan UMNO dan Pas.

"Lagipun, bagaimana Dr Mahathir boleh menerima sekumpulan yang mana ramai pimpinannya dihadapkan ke mahkamah dengan pelbagai pertuduhan? Ini satu keadaan yang serius, jadi bukan PH yang harus takut tetapi UMNO," kata Ahli Parlimen Lembah Pantai itu.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!