Pengerusi ASEAN: Malaysia perlu utamakan rakyat, perdagangan intra-ASEAN
KUALA LUMPUR - Memandangkan Malaysia bakal menjadi Pengerusi ASEAN menjelang tahun depan, ia sewajarnya menumpukan pada pelaksanaan lebih banyak langkah berpaksikan rakyat dan perdagangan intra-ASEAN, kata pakar.
Pengarah Serantau ASEAN bagi Hal Ehwal Undang-undang dan Kerajaan Microsoft, Dr Jasmine Begum berkata, sejajar dengan pengembangan ASEAN, Malaysia telah muncul sebagai pemain yang berpengaruh, bukan sahaja dalam rangka kerja serantau tetapi juga di peringkat ekonomi global.
"Peluang bukan sekadar wujud pada pergerakan barangan serta perdagangan, (tetapi) merangkumi pergerakan orang dan perniagaan kecil. Kita telah melihat banyak pemula niaga dari seluruh rantau, sama ada Grab Malaysia, Gojek (syarikat e-hailing Indonesia) merentasi negara, ASEAN serta global.
"Malaysia berada dalam kedudukan terbaik bagi menerajui beberapa kawasan terdepan ini tetapi yang lebih penting, saya teruja untuk melihat apa maknanya kepada rakyat ASEAN,” katanya semasa program Bernama TV 'The Nation ASEAN+' pada Selasa.
Sementara itu, Felo Kanan Singapore Institute of International Affairs, Dr Oh Ei Sun berkata, Malaysia adalah kuasa perdagangan utama yang berurus niaga bukan sahaja dengan beberapa ekonomi terbesar dunia tetapi juga dengan ramai anggota ASEAN.
Beliau menekankan perdagangan intra-ASEAN pada masa ini hanya menyumbang satu perempat daripada jumlah perdagangan antara negara ASEAN dengan kuasa ekonomi utama dunia.
"Jika kita boleh meningkatkannya kepada separuh, menggandakan perdagangan intra-ASEAN, ia akan menjadi satu pencapaian yang ketara bagi Malaysia,” katanya.
Malaysia mengalu-alukan pelaburan daripada negara-negara ASEAN yang lain, yang seterusnya ia boleh melabur lebih banyak di di negara ASEAN yang lain, kata Ei Sun.
"Atas dasar itu, mungkin kita boleh melakukan sesuatu yang lebih dengan memajukan kerjasama ekonomi dengan komuniti ekonomi ASEAN.
"Ini akan menjadikan ASEAN sebagai rantau paling dinamik dari segi ekonomi dan paling pesat berkembang di dunia,” kata beliau lagi.
Sebagai pengerusi Asean pada tahun depan, Ei Sun menekankan bahawa Malaysia harus mengamalkan pendekatan yang lebih mengutamakan rakyat selain menonjolkan bagaimana kerjasama ASEAN dan inisiatif lain boleh secara langsung memberi manfaat kepada kehidupan individu biasa.
Sebaliknya, Jasmine menyifatkan perdagangan antara dan intra-ASEAN sebagai satu fenomena baharu serta menarik.
Beliau secara khusus menekankan pengenalan Perjanjian Rangka Kerja Ekonomi Digital ASEAN (DEFA), yang bertujuan bagi memacu pertumbuhan ekonomi digital rantau ini kepada AS$1 trilion menjelang 2030.
Malaysia boleh mengusahakan mobiliti ekonomi digital yang mampu bergerak dari pusat bandar ke hab ekonomi di seluruh rantau ASEAN.
"Ekonomi digital mencipta peluang yang membolehkan hab ekonomi boleh diakses oleh sesiapa sahaja,” kata Jasmine. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!