SOJC: Malaysia tewas 2-4 kepada India

Pemain Malaysia, Adam Ashraf (kiri) diasak oleh pemain India, Yadav Chandan (kanan) pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya pada Selasa. Foto Bernama
Pemain Malaysia, Adam Ashraf (kiri) diasak oleh pemain India, Yadav Chandan (kanan) pada Perlawanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) di Stadium Hoki Taman Daya pada Selasa. Foto Bernama
A
A
A

IMPIAN skuad remaja kebangsaan untuk meraih kemenangan pertama pada Kejohanan Hoki Antarabangsa Piala Sultan Johor (SOJC) berkubur, selepas tewas 2-4 kepada India pada aksi ketiga di Stadium Hoki Johor, Taman Daya, malam ini.

Kekalahan ketiga berturut-turut itu selepas tewas 1-4 kepada Jepun pada aksi kedua pada Ahad dan tewas 2-3 kepada New Zealand pada aksi pertama Sabtu lepas.

Suku pertama malam ini menyaksikan kedua-dua pasukan berbalas serangan dan skuad Young Tigers berjaya memecah kebuntuan apabila berjaya meraih gol pertama pada minit kelapan menerusi gol padang oleh Muhammad Danish Aiman.

Selang seminit, anak didik I Vikneswaran terus mencipta jurang apabila memperoleh gol kedua menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke sembilan oleh Harris Osman.

Bagaimanapun pasukan India tidak menunggu lama untuk mengejar, apabila berjaya memperoleh gol pertama mereka pada minit ke-11 menerusi pukulan sudut penalti oleh Sharda Nand Tiwari.

Selang empat minit (minit ke-13), India menyamakan kedudukan apabila Singh Arshdeep menjaringkan gol menerusi gol padang.

Suku ketiga menyaksikan Taleem Priyobarta berjaya meletakkan India di depan menerusi gol padang pada minit ke-39.

Pasukan India terus melancarkan serangan dan membolosi kubu pertahanan pada minit ke-40 apabila pukulan sudut penalti berjaya disempurnakan pemain berjersey nombor 23, Rohit.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, perlawanan sebelah petang tadi menyaksikan Australia menewaskan Jepun 5-1 manakala New Zealand seri dengan Great Britain 1-1.

Perlawanan seterusnya yang akan berlangsung esok menyaksikan skuad Malaysia akan menentang Great Britain, sementara India bakal berdepan Australia dan New Zealand akan bertemu Jepun. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!