Penyasaran subsidi RON95: Kerajaan masih ada masa selesaikan isu PADU
SHAH ALAM - Kerajaan masih mempunyai masa untuk menyelesaikan isu sistem Pangkalan Data Utama (PADU) yang masih dalam proses pembangunan sebelum ia berkemungkinan dijadikan platform utama bagi melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95.
Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse berkata, umum mengetahui ia merupakan mekanisme yang diperkenalkan oleh Kementerian Ekonomi dan sedang disiapkan untuk pengagihan subsidi dan bantuan kerajaan secara bersasar kepada golongan betul-betul layak.
“Kita tak nak orang yang tak layak... dapat dan orang yang layak... tak dapat. Bagi saya, perkara paling penting adalah mekanisme atau sistem betul.
“PADU adalah salah satu sistem yang dalam proses untuk kita nilai adakah ia paling sesuai sekarang atau sebaliknya.
“Namun, saya rasa kerajaan perlu bertanggungjawab dan cuba semua pilihan sebab pada penghujungnya nanti, subsidi kena sampai juga kepada golongan betul,“ katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Wacana Sinar edisi 462 bertajuk ‘Belanjawan 2025: Tercapaikah Siling, Terangkatkah Lantai?’ yang disiarkan di platform digital Sinar Harian secara langsung dari Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis lain antaranya Pengarah Program MBA Putra Business School (PBS), Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff dan Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Indrani Thuraisingham.
Ditanya mengenai waktu tepat untuk melaksanakan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST), Jimmy yang juga ahli Jawatankuasa Pilihan Khas (JKPK) Kewangan dan Ekonomi Parlimen Malaysia berpandangan, sistem tersebut tidak dinafikan amat baik kerana ia mampu menutup ‘black economy’ dianggarkan hampir RM50 bilion.
Bagaimanapun, menurutnya, tempoh pelaksanaan perlu tepat pada masanya selari dengan saranan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan seiring jumlah pendapatan rakyat agar semuanya boleh membayar GST.
“Itulah sebabnya objektif kerajaan sekarang bukannya nak perkenalkan semula GST, tetapi fokusnya nak naikkan gaji minimum dan pendapatan pekerja menerusi Dasar Gaji Progresif (DGP).
“Kita nak pastikan rakyat sampai satu tahap gaji yang sesuai. Bila gaji naik, banyak perkara akan menguntungkan contohnya Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) meningkat.
“Apa kita boleh buat sekarang adalah cuba kawal harga makanan dan naikkan pendapatan. Walaupun mungkin harga barang naik sedikit, gaji boleh tampung,“ ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!