Pemilik premis alat ganti warga Pakistan ditahan rasuah polis

Seorang pemilik premis alat ganti kenderaan warga Pakistan ditahan selepas cuba merasuah anggota polis ketika pemeriksaan dilakukan di premisnya di Kampung Tok Bok pada Isnin. Gambar hiasan
Seorang pemilik premis alat ganti kenderaan warga Pakistan ditahan selepas cuba merasuah anggota polis ketika pemeriksaan dilakukan di premisnya di Kampung Tok Bok pada Isnin. Gambar hiasan
A
A
A

KUALA KRAI - Seorang pemilik premis alat ganti kenderaan warga Pakistan ditahan selepas cuba merasuah anggota polis ketika pemeriksaan dilakukan di premisnya di Kampung Tok Bok pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Kuala Krai, Superintenden Mazlan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 pagi ketika sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Krai memeriksa premis berkenaan kerana disyaki beroperasi tanpa lesen yang sah.

Menurut beliau, pemeriksaan lanjut mendapati seorang pekerjanya yang juga warga Pakistan menyalahgunakan permit pekerjaan.

"Kita dapati permit lelaki berusia 25 tahun itu dalam bidang pertanian di sebuah syarikat di Johor Bahru," katanya melalui kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, ketika polis cuba menahan lelaki terbabit, pemilik premis berusia 51 tahun itu menawarkan wang tunai sebanyak RM200 sebagai tindakan untuk melepaskan pekerjanya.

"Bagaimanapun, polis berkenaan menolak dan memberi amaran kepada pemilik premis bahawa perbuatan itu menyalahi undang-undang dan boleh ditahan di bawah Seksyen 17(B) Akta SPRM 2009," katanya.

Mazlan memberitahu, polis terpaksa menahannya kerana tidak mengendahkan amaran yang diberikan.

"Polis kemudian menahan kedua-dua mereka di bawah Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963," katanya lagi.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, polis Kuala Krai sangat tegas mengenai isu integriti dan tidak akan berkompromi terhadap individu yang cuba menawarkan rasuah kepada pihak polis.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!