Tiada asas kaitkan Tun M dengan Pakatan Nasional
SEREMBAN - Tiada asas untuk mengaitkan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dengan dakwaan penubuhan Pakatan Nasional yang melibatkan kerjasama Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), UMNO dan Pas.
Ketua Umum Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan isu itu sebagai propaganda yang sengaja dijaja pihak tertentu.
“Tidak ada pimpinan PH, malah dalam Bersatu sendiri yang mengakui hal itu. Dalam pertemuan bersama Perdana Menteri pun, hal ini tidak pernah dibangkitkan.
“Setakat ini, tiada asas untuk saya melayani tohmahan sedemikian dan secara peribadi, saya tidak pernah dengar perkara itu dibincangkan dalam PH dan pimpinan Bersatu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri majlis ramah mesra bersama Pro Reformis 98 di sini hari ini.
Anwar juga menyangkal kritikan bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor bahawa Majlis Presiden Pakatan Harapan terlalu lemah sehingga tiada pemimpin bersuara meminta penjelasan Perdana Menteri berhubung dakwaan kerjasama melibatkan Bersatu, UMNO dan Pas bagi membentuk Pakatan Nasional.
“Nak persoalkan apa Tun M (Dr Mahathir)? Dalam pertemuan saya dengan Tun M pun dan dalam mesyuarat PH pun, tiada halangan untuk kemukakan apa-apa masalah.
“Memang hal ini dari segi perbincangan mengenai dasar PH dan transisi peralihan itu dibincangkan. Jadi, tidak benar jika nak kata pemimpin PH itu menikus dan tidak berani bersuara,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Port Dickson itu turut menyifatkan desas-desus berhubung beberapa Ahli Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR), Parti Amanah Negara (Amanah) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang dikatakan menyokong penubuhan Pakatan Nasional di bawah Dr Mahathir itu direka oleh pembangkang.
Bagaimanapun Anwar tiada halangan sekiranya Pakatan Nasional benar-benar berlaku tetapi mempersoalkan keperluannya memandangkan pembangkang terutama UMNO sudah diberikan mandat mentadbir negara selama 62 tahun.
“Dia (pembangkang) kata untuk selamatkan Melayu. Dia sudah diberi mandat 62 tahun dan keduanya dia ditaja beberapa orang yang sedang hadapi kes serius di mahkamah soal rasuah.
“Patutnya dia hadapi itu dulu, jangan anggap dia nampak baik, hal ini ditutup dan diselesaikan,” katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!