Siapa pula akan dibersihkan SPRM selepas ini?

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

HARAPKAN pagar, pagar makan padi. Itu yang dapat digambarkan terhadap tindakan ‘tali barut’ terdiri daripada beberapa pegawai dan anggota yang telah mencemarkan susu sebelanga dalam Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

Pendedahan secara eksklusif kenyataan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menerusi dokumentari bertajuk ‘Tali Barut’ yang disiarkan dalam segmen Xtra360 di saluran YouTube Sinar Harian pada Isnin malam membuktikan integriti mereka yang terlibat terhapus setelah menjadi hamba kepada wang ringgit.

Semua itu diceritakan selepas SPRM pada 18 September lalu menahan 49 pegawai JIM dan seorang sarjan polis wanita, dua ejen serta lapan keldai akaun kerana disyaki bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi operasi counter setting atau ‘kaunter laluan khas’ di pintu masuk negara.

Nilai rampasan wang ringgit pula bukan calang-calang iaitu lebih RM500,000 ditemui di dalam bagasi milik seorang pegawai kanan wanita Gred KP22 JIM di Pahang dan hampir RM250,000 dijumpai di bawah katil bilik tidur pegawai imigresen Gred KP19 yang kini bertugas di Melaka.

Jumlah keseluruhan sitaan termasuk barang kemas, kenderaan dan akaun bank adalah lebih RM3.6 juta.

Sebenarnya, 50 penjawat awam yang terlibat ini sudah mengetahui apa yang mereka lakukan itu merupakan satu tindakan yang mengkhianati negara tetapi seperti diperjelaskan, mereka ini sudah tidak dapat membezakan mana putih, mana hitam.

Mereka hanya fikirkan keuntungan tetapi lupa tentang peribahasa ‘sepandai-pandai tupai melompat akhirnya jatuh ke tanah juga’ atau ‘jerat tidak lupakan pelanduk’.

Tertangkapnya mereka ini adalah hasil daripada kerjasama perbincangan sulit SPRM dengan bekas Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh selain maklumat dalaman daripada beberapa pegawai jabatan berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Tabik hormat boleh diberikan kepada Ruslin, biarpun berstatus bekas ketua pengarah, tindakannya nekad untuk membersihkan JIM wajar diberikan pujian.

Untuk jabatan atau agensi kerajaan lain, bekas-bekas ketua boleh melakukan tindakan serupa supaya petualang-petualang yang mengkhianati negara dapat dibanteras sehingga ke akar umbi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!