Rangka pelan terbaik - Liu Ying

Nur Izzuddin (kanan) dan Sze Fei perlu merangka pelan terbaik untuk kekal konsisten menuju LA 28.
Nur Izzuddin (kanan) dan Sze Fei perlu merangka pelan terbaik untuk kekal konsisten menuju LA 28.
A
A
A

BEREGU profesional negara, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani perlu merangka pelan strategik terbaik bagi memacu perjalanan mereka menuju ke Sukan Olimpik 2028 di Los Angeles (LA28) empat tahun lagi.

Biarpun perjalanan masih panjang dan berliku, bekas pemain badminton negara, Goh Liu Ying berkata, program tersebut perlu dibuat dengan teliti menerusi kerjasama jurulatih mereka yang melibatkan pelbagai aspek termasuk latihan, kejohanan, kekuatan mental serta fizikal.

Malah beliau juga percaya menerusi sokongan program Road To Gold (RTG) mampu membantu mereka yang bergerak secara profesional untuk berada pada prestasi terbaik.

"Kalau dahulu sebagai pemain profesional agak susah perjalanan mereka, tetapi ketika ini kita sudah ada sistem dan mereka juga kian matang.

"Mereka boleh pelan dengan baik dan tahu yang perlu untuk tingkatkan prestasi. Apa yang penting cara latihan, selain sokongan fizikal dan fisioterapi. Jika semua ini boleh dibuat ia adalah bagus.

"Malah dengan sokongan RTG yang merupakan satu program menggalakkan atlet lebih berdaya saing. Berlaku persaingan yang sihat dalam kalangan mereka dan ia dapat membantu beregu negara itu," katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh memberi bayangan pasangan nombor lapan dunia itu berpeluang untuk diserapkan dalam RTG.

Bagaimanapun keputusan mengenai perkara berkenaan akan diputuskan dalam mesyuarat akan datang.

Artikel Berkaitan:

Liu Ying yang meraih pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 bersama pasangannya, Chan Peng Soon juga mahu gandingan negara itu fokus langkah demi langkah dalam perjalanan ke Los Angeles.

Ini kerana kata beliau, cabarannya masih berliku dengan peningkatan usia dan corak latihan mungkin berbeza, selain setiap pasangan perlu konsisten dengan kedudukan ranking dunia.

"Bagi saya paling penting ialah layak terlebih dahulu (LA 28). Sebab peluang adalah untuk dua pasangan bagi setiap negara dengan mereka perlu berada dalam kelompok lapan terbaik.

"Ia bukan mudah kerana kebanyakan negara giat mempersiapkan pasangan muda untuk melayakkan diri ke temasya besar ini," katanya.

Nur Izzuddin-Sze Fei yang menjuarai Terbuka China berstatus Super 1000 baru-baru ini akan mencecah usia 31 tahun pada 2028.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!