Sampai bila nak jadi ‘lauk’ pak belang?
INSIDEN warga asing dibaham harimau di sebuah ladang cili berhampiran Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Jeli-Gerik, Batu Melintang, Kelantan pada 17 Oktober lalu mendapat liputan meluas media termasuk media sosial.
Ini bukan pertama kali berlaku di negeri itu, malah boleh dikatakan sudah menjadi ‘rutin tahunan’ sejak kebelakangan ini.
Ia berasaskan kepada maklumat berkaitan serangan harimau belang yang dikeluarkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan dalam tempoh empat tahun bermula 2021.
Mengikut maklumat itu, serangan harimau terhadap manusia berlaku pada 10 November tahun lalu di Ladang Akar Prestige, Meranto, Gua Musang melibatkan kematian seorang lelaki warga Indonesia.
Sebulan kemudian pada tahun yang sama, seorang lelaki warga Myanmar maut selepas dibaham haiwan itu dalam kejadian di Ladang Getah Persendirian Meranto, Gua Musang.
Terdahulu, pada 5 Oktober 2023, seorang lelaki Orang Asli dari Pos Pasik, Gua Musang maut dibaham seekor harimau.
Ini tidak termasuk siri serangan yang mendatangkan kecederaan kepada masyarakat Orang Asli di Hulu Kelantan sebagaimana berlaku pada 5 Julai 2021 di Kampung Sau, Pos Bihai, Gua Musang.
Akhbar tempatan pernah melaporkan, kekurangan populasi babi liar dan rusa di dalam hutan disyaki menjadi punca utama harimau belang keluar dari habitat asal untuk menukar selera dengan menyerang manusia sebagai santapan.
Selain itu, penerokaan hutan dan pembukaan tanah-tanah di Hulu Kelantan yang semakin berleluasa ketika ini didakwa menyebabkan sumber makanan ‘pak belang’ di habitat asalnya mulai menyusut.
Melihat kepada situasi itu, konflik antara manusia dengan harimau ini tidak boleh dipandang enteng oleh kerajaan negeri Kelantan selaku pentadbir.
Ia ibarat jerangkap samar jika tidak diselesaikan secara tuntas.
Itu belum mengambil kira serangan haiwan liar lain seperti gajah dan beruang matahari yang semakin berani keluar dari habitat asal, seterusnya masuk ke kawasan penempatan penduduk kesan penerokaan hutan.
Jika semua itu dihitung, konflik antara manusia dengan hidupan liar seperti harimau belang, gajah dan beruang matahari itu sebenarnya merupakan amaran dari rimba.
Kerajaan negeri Kelantan perlu melihat masalah ini secara tuntas dan tidak hanya berpeluk tubuh dengan sekadar mencari idea-idea baharu untuk dijadikan sebagai alasan.
Tindakan itu hanya menambah keresahan dalam kalangan penduduk khususnya di Hulu Kelantan yang saban hari ‘kecut perut’ memikirkan nasib mereka seolah-olah tiada penghujung.
Pun begitu, konflik antara manusia dan haiwan liar ini bukan sahaja berlaku di Kelantan tetapi turut melibatkan negeri-negeri lain seperti Perak, Terengganu dan Pahang.
Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) dalam kenyataannya sebelum ini bersedia menjalankan kajian menyeluruh untuk mencegah atau mengelak harimau keluar dari habitat asalnya seterusnya mendatangkan kemudaratan kepada manusia.
Menterinya, Nik Nazmi Nik Ahmad secara jelas menekankan bahawa perubahan dalam habitat harimau berkemungkinan mengakibatkan masalah sama berulang pada masa akan datang.
Isu menjaga habitat memainkan peranan yang sangat penting dan pada masa sama NRES sedang melihat keadaan binatang mangsa yang menjadi makanan haiwan liar terbabit terutamanya harimau.
Hal ini kerana ada laporan mengatakan apabila terjejas bilangan binatang mangsa dalam hutan, ia akan mendorong haiwan karnivor itu untuk keluar.
Perhilitan juga ada menyatakan mengenai tindakan membekalkan ataupun melepaskan binatang-binatang mangsa ke dalam hutan.
Ia untuk mendorong haiwan pemangsa seperti harimau tidak keluar dari kawasan hutan bagi mencari makan.
Jika cara ini dilihat berkesan, mungkin perlu disegerakan dan diperluaskan lagi.
* Hazelen Liana Kamarudin ialah Ketua Biro Sinar Harian Kelantan
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!