Mekanisme subsidi RON95 perlu mudahkan rakyat, golongan rentan

Foto hiasan
Foto hiasan
A
A
A

KERAJAAN dijangka meneroka pendekatan berbeza bagi memastikan subsidi RON95 disalurkan kepada golongan sasar dengan tepat dan berkesan.

Ia susulan pengumuman dalam Belanjawan 2025 untuk memansuhkan subsidi RON95 bagi 15 peratus golongan berpendapatan tertinggi mulai pertengahan 2025.

Kerajaan bercadang untuk melaksanakan penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun 2025, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, dengan anggaran sekitar RM12 bilion untuk 85 peratus rakyat Malaysia.

Sewaktu membentangkan Belanjawan 2025 Malaysia Madani di Dewan Rakyat pada Jumaat, beliau berkata, sesuatu yang tak dapat disangkal ialah warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya menikmati 40 peratus subsidi petrol RON95 bernilai RM8 bilion.

Katanya lagi, dana RM8 bilion itu sebenarnya lebih baik dimanfaatkan bagi peningkatan kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

Dalam pada itu, Persatuan Pengusaha Stesen Minyak Bumiputera Malaysia menegaskan syor sistem dua harga di pam minyak susulan rancangan pelarasan subsidi petrol RON95 hanya akan membuka lebih banyak ruang kepada ketirisan kerana pasti ada pihak yang akan mencari jalan mendapatkan petrol pada harga subsidi.

Pelbagai pihak turut meminta kerajaan memperhalusi lagi mekanisme subsidi RON95 termasuk meneroka potensi penggunaan kad pengenalan dan e-dompet, memberi bantuan tunai atau mengenakan levi petrol ke atas golongan mahakaya T15.

Kerajaan juga dicadang menetapkan had pendapatan bagi isi rumah kelompok mahakaya T15 pada kadar RM15,000 sebulan, bagi mencerminkan gaji sara hidup yang adil.

Artikel Berkaitan:

Mantan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Rafidah Aziz menyarankan agar penyasaran subsidi yang bakal dilaksanakan pada tahun depan diperhalusi, termasuk melaksanakan analisis faedah kos bagi memastikan setiap perancangan dapat memberi manfaat kepada rakyat.

Beliau berkata, perkara tersebut juga penting supaya golongan rakyat berhak menerima subsidi yang diperuntukkan secara saksama.

Justeru, apapun kaedah terbaik penyasaran subsidi petrol yang kerajaan akan lakukan kelak perlu menyenangkan rakyat khasnya kepada golongan rentan yang meliputi wanita, warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan sebagainya.

Ia kerana kumpulan berkenaan juga merupakan sebahagian pengguna jalan raya yang akan menggunakan RON95 bersubsidi bagi kenderaan masing-masing.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!