Semua jabatan perlu 'dibersihkan' - ABIM
SHAH ALAM - Usaha memerangi rasuah perlu dilakukan secara berterusan menerusi tindakan skala besar dengan pemantauan dan penguatkuasaan secara menyeluruh serta konsisten.
Naib Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Zairudin Hashim berkata, pembersihan terhadap Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) baru-baru ini merupakan amaran kepada semua pihak yang terlibat dengan kegiatan rasuah.
“Kita menyokong sebarang usaha untuk memerangi rasuah dari pada mana-mana pihak. Dalam konteks JIM, pembersihan besar-besaran sangat diperlukan kerana terdapat sesetengah pegawai dan penguat kuasa JIM terlibat sebagai pengkhianat negara.
“Jawatan dan kuasa yang dimiliki adalah tanggungjawab besar untuk dipikul sebagai amanah, bukan untuk disalahgunakan,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Sebelum ini media melaporkan operasi bersepadu SPRM dan JIM membongkar kegiatan counter setting di pintu masuk negara sehingga tertangkapnya 50 pegawai penguat kuasa yang belot perlu menjadi titik tolak pembersihan besar-besaran JIM daripada skandal rasuah dan penyelewengan.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mendedahkan, operasi yang giat dijalankan ketika ini tidak akan berjaya tanpa perbincangan sulit dengan bekas Ketua Pengarah JIM, Datuk Ruslin Jusoh selain maklumat dalaman daripada beberapa pegawai jabatan berkenaan.
Menurut beliau, inisiatif Ruslin yang ingin membersihkan JIM dari aspek tatakekola, isu rasuah dan masalah integriti tidak kira di peringkat tertinggi mahupun bawahan wajar dipuji serta dijadikan tauladan oleh jabatan lain.
Bagaimanapun, menurut Zairudin, usaha seperti itu tidak akan berjaya jika dilaksanakan secara bermusim dan bersifat fokus kepada agensi atau jabatan tertentu saja
Justeru katanya, individu atau pihak yang mengetahui mengenai kegiatan tersebut wajib terus melaporkannya kepada Jabatan Integriti tanpa berlengah di bahagian yang berkaitan.
Tambah beliau, hanya dengan keberanian bertindak sahaja dapat membendung atau melenyapkan kegiatan rasuah.
Mengulas lanjut, Zairudin berkata, selain usaha daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), kerjasama rentas antara kementerian juga perlu dilaksanakan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!