Perbaharui struktur gaji ikut kelulusan

Majikan disaran memperbaharui struktur gaji mengikuti kelulusan. Foto hiasan (Gambar kecil: Abdul Rahim)
Majikan disaran memperbaharui struktur gaji mengikuti kelulusan. Foto hiasan (Gambar kecil: Abdul Rahim)
A
A
A

SHAH ALAM - Majikan disaran memperbaharui struktur gaji mengikuti kelulusan ekoran kerajaan menetapkan gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 berkuat kuasa 1 Februari 2025.

Pensyarah Bidang Pengurusan Sumber Manusia di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Profesor Madya Dr Abdul Rahim Zumrah berkata, penetapan tersebut adalah tanda bahawa syarikat boleh mempertimbangkan struktur gaji baharu dengan mengambil kira aspek kelulusan.

“Dalam hal ini, kerajaan hanya menyentuh ‘akar’ dengan penetapan gaji asas baharu daripada RM1,500 kepada RM1,700. Ini adalah signal kepada majikan untuk turut menaikkan gaji pekerja mengikut kelayakan mereka (kelulusan pekerja).

“Pihak kerajaan tidak boleh menetapkan gaji minimum berdasarkan kelulusan kerana kemampuan kewangan setiap majikan adalah berbeza.

“Sebagai contoh, tidak adil jika kerajaan menetapkan RM2,500 bagi kelulusan ijazah sarjana muda kerana ada syarikat yang mampu membayar lebih daripada amaun berkenaan. Begitu juga ada syarikat yang tidak mampu atas faktor kewangan,” katanya ketika dihubungi pada Selasa.

Sebelum ini, Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong telah mengingatkan kepada majikan untuk tidak meletakkan kenaikan kadar gaji minimum sebagai gaji permulaan kepada pekerja di semua sektor pekerjaan terutama graduan lepasan universiti.

Menurutnya, gaji minimum adalah bukan gaji permulaan ditetapkan kepada semua pekerja khususnya graduan sebaliknya ia merupakan gaji dibayar kepada pekerja asas dengan kelayakan akademik rendah termasuk sektor kotor, bahaya dan sukar (3D).

Mengulas lanjut, Abdul Rahim berkata, walaupun kerajaan tidak menyentuh secara terus terhadap setiap tahap kelulusan pendidikan, namun majikan perlu cakna hal berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, jika tidak berbuat sedemikian maka ia akan menimbulkan ketidakpuasan hati dalam kalangan pekerja kerana jurang gaji tidak signifikan antara pekerja yang memiliki perbezaan kelulusan.

“Hal ini tidak boleh pandang ringan. Majikan perlu mempertimbangkan struktur gaji baharu di semua peringkat (kelulusan) tidak kira berapa sahaja kenaikan itu, janji ada perubahan (pertambahan gaji) dan perbezaan signifikan berdasarkan kelulusan,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!