Iraq umum ketua Daesh dibunuh

Mohammed Shia al-Sudani - Foto: Agensi
Mohammed Shia al-Sudani - Foto: Agensi
A
A
A

ISTANBUL - Perdana Menteri Iraq, Mohammed Shia al-Sudani pada Selasa mengumumkan bahawa ketua tertinggi Daesh di Iraq telah dibunuh, lapor Agensi Anadolu.

Beliau berkata, gabenor yang diisytiharkan sendiri oleh kumpulan pengganas itu bagi Iraq dan lapan pengganas lain maut dalam operasi antikeganasan di Pergunungan Hamrin, timur laut Iraq.

"Tiada tempat untuk pengganas di Iraq, dan kami akan memburu mereka ke tempat persembunyian mereka dan menghapuskan mereka sehingga tanah Iraq dibersihkan daripada mereka dan tindakan terkutuk mereka," kata al-Sudani di platform X.

Pada Jun 2014, kumpulan pengganas Daesh telah menawan Mosul, Saladin, Anbar dan sebahagian Wilayah Diyala dan Kirkuk. Wilayah-wilayah terlibat telah dirampas semula daripada kumpulan itu pada Disember 2017 oleh tentera Iraq dengan sokongan pakatan antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat menentang Daesh di Iraq.

Walaupun hampir tujuh tahun telah berlalu sejak kumpulan pengganas Daesh diusir dari wilayah terbabit dan bandar-bandar ditawan semula, serangan oleh organisasi itu masih berterusan, terutamanya di kawasan luar bandar Kirkuk, Diyala, Mosul, Saladin dan Anbar. - Bernama

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!