PGA rampas 42 kotak ayam sejuk bernilai lebih RM6,000
TUMPAT - Dua penyeludup tidak sempat habis memunggah ayam sejuk beku dari perahu ke pacuan empat roda jenis Mitsubishi selepas terpaksa melarikan diri apabila diserbu oleh Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di pangkalan haram Aziz di sini pada Selasa.
Dalam serbuan jam 7.55 pagi itu, dua lelaki terbabit dikesan sedang melakukan aktiviti penyeludupan di tepi tebing Sungai Golok semasa penugasan Op Taring Wawasan Kelantan dijalankan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati 42 kotak ayam sejuk beku dipercayai dari Thailand ditemui di dalam kenderaan terbabit tanpa dokumen sah.
"Ayam sejuk beku tersebut dipercayai untuk diseludup masuk ke pasaran tempatan.
"Anggaran nilai keseluruhan rampasan ialah RM6,300 dan kes disiasat bawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967," katanya pada Rabu.
Menurut beliau, barang rampasan diserahkan ke Kompeni Taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!