Pesaka Melaka dakwa wujud rasuah pemilihan jawatankuasa baharu

Mohamad Ali ketika ketika sidang akhbar di Baitul Tariq, Klebang pada malam Selasa.
Mohamad Ali ketika ketika sidang akhbar di Baitul Tariq, Klebang pada malam Selasa.
A
A
A

MELAKA - Yang Dipertua (YDP) Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (Pesaka) Melaka, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad mendakwa terdapat unsur rasuah dan sogokan dalam pemilihan jawatankuasa baharu persatuan itu.

Mohamad Ali berkata, susulan aduan yang diterima, dia telah menangguhkan persidangan Tahunan Pesaka Melaka ke-23 di Baitul Tariq, Klebang pada Ahad lalu dan melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur sehari selepas persidangan tersebut.

Menurutnya, penangguhan itu dilakukan atas beberapa sebab termasuk mendakwa terdapat laporan daripada beberapa guru silat bahawa mereka menerima rasuah daripada pihak tertentu yang menawarkan diri untuk bertanding dalam kepimpinan Silat Pesaka Melaka.

Beliau berkata, sebagai individu yang berada dalam sukan berkenaan, Mohamad Ali berasa kesal kerana wujudnya elemen kotor dalam sukan yang menyatukan bangsa Melayu tanpa mengira latar belakang politik sekali gus mencemari persatuan itu.

"Kepada pihak yang cuba mengotori wadah penyatuan ini dengan rasuah yang hina seperti ini, bahawa kami orang-orang silat mempunyai maruah dan maruah kami tidak boleh dibeli dengan wang ringgit.

"Saya mencela dengan sekerat-kerasnya usaha mereka untuk merendahkan maruah pesilat negeri Melaka," katanya ketika sidang akhbar mengenai isu itu di Baitul Tariq, Klebang pada malam Selasa.

Beliau yang juga Timbalan Presiden Pesaka Malaysia berharap laporan yang dibuat diambil tindakan oleh pihak berkuasa kerana tidak mahu terdapat unsur-unsur rasuah di dalam Pesaka yang akhirnya akan merosakkan persatuan silat di negara ini.

Ujarnya, ada juga laporan yang diterima daripada guru-guru silat yang mendakwa terdapat pihak-pihak luar mencampuri urusan dalam persatuan itu.

Artikel Berkaitan:

"Silat ini kita nak bebas, ia merupakan satu wadah perjuangan orang Melayu yang tidak terkait dengan perkara-perkara yang tidak baik di dalamnya.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada guru-guru Silat yang tidak redha dengan perkara kotor seperti ini dan sudi tampil sebagai saksi utama kes ini," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!