Lelaki warga asing diberkas, culik kanak-kanak

Suspek diikat selepas ditangkap orang awam dalam kejadian di Kampung Bunga Raya, Kuang di sini pada Selasa.
Suspek diikat selepas ditangkap orang awam dalam kejadian di Kampung Bunga Raya, Kuang di sini pada Selasa.
A
A
A

SUNGAI BULOH - Tindakan lelaki warga asing menculik seorang kanak-kanak mengundang padah apabila dia diberkas dalam kejadian di Kampung Bunga Raya, Kuang di sini pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintenden Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata, laporan berkaitan kejadian terbabit dibuat wanita warga tempatan berumur 47 tahun.

"Mangsa melaporkan bahawa dalam kejadian kira-kira jam 12.40 tengah hari itu, dia telah mendengar jeritan jirannya meminta tolong dan menjerit ada seseorang mahu mengambil anaknya.

"Dia kemudian pergi ke rumah jirannya itu sebelum melihat suspek cuba melarikan diri. Dia bersama penduduk lain mengejar suspek sebelum berjaya menahan suspek berdekatan kawasan pembuangan sampah," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa terlibat merupakan kanak-kanak lelaki berumur dua tahun.

"Kejadian culik dipercayai berlaku di ruang tamu sebuah rumah dan suspek turut dipercayai bertindak berseorangan ketika kejadian.

"Suspek memperkenalkan diri sebagai tukang cuci ketika bertindak cuba menculik mangsa sebelum berjaya diberkas kira-kira 500 meter dari lokasi kejadian," katanya.

Beliau berkata, suspek yang ditangkap itu diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya dan satu kertas siasatan dibuka di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan.

Artikel Berkaitan:

"Sebarang maklumat berkaitan kejadian boleh disalurkan dengan menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung dengan Pegawai Penyiasat Inspektor Mohamad Azammudin Mohd Razib di talian 016-5661597," katanya.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial memaparkan seorang lelaki warga asing diberkas orang ramai selepas dipercayai menculik seorang kanak-kanak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!