Padah salah guna kad fleet seludup diesel bersubsidi
TUMPAT - Tindakan seorang lelaki menyalahgunakan kad fleet membeli minyak diesel dengan harga subsidi untuk diseludup ke negara jiran mengundang padah apabila dicekup anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) Kuala Terengganu di Jalan Kasban, Kampung Tualang di sini pada Selasa.
Lelaki berusia 58 tahun itu ditahan semasa memandu lori pada jam 8 pagi menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan menemui lebih 80 liter minyak diesel yang disorok di dalam tangki yang diubah suai.
"Kami turut merampas tiga keping kad fleet berserta resit belian yang digunakan untuk membeli minyak diesel dengan harga subsidi.
"Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup bahan bakar tersebut ke negara jiran," katanya pada Rabu.
Menurutnya, anggaran nilai keseluruhan rampasan ialah RM100,236 dan kes disiasat bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Beliau berkata, suspek dan hasil rampasan diserahkan ke Kompeni Taktikal (Komtak) Pengkalan Kubor untuk tindakan selanjutnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!