Klinik kesihatan Gelang Patah sudah ditambah baik empat kali - JKNJ

Lawatan dilakukan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Klinik Kesihatan Gelang Patah pada Ahad. - Foto: FB Onn Hafiz
Lawatan dilakukan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Klinik Kesihatan Gelang Patah pada Ahad. - Foto: FB Onn Hafiz
A
A
A

JOHOR BAHRU - Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menjelaskan Klinik Kesihatan Gelang Patah yang didakwa berada dalam keadaan daif dengan ruang menunggu yang sesak dan sempit, sudah empat kali dinaiktaraf sejak 2015.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ), Dr Mohtar Pungut @ Ahmad berkata, pihaknya amat menghargai keprihatinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi terhadap lawatan di fasiliti kesihatan itu pada Ahad.

"JKNJ bersama Pejabat Kesihatan daerah (PKD) Johor Bahru mengambil perhatian mengenai keadaan semasa Klinik Kesihatan Gelang Patah.

"Klinik kesihatan Gelang Patah merupakan sebuah klinik yang dibina pada tahun 1975 dan kini menerima kedatangan pesakit seramai 700 hingga 800 pesakit sehari dengan 104,045 populasi di bawah kawasan operasinya," katanya dalam muat naik di laman Facebook JKNJ pada Rabu.

Menurut beliau, beberapa penambahbaikan telah dilaksanakan bagi menangani isu ruang klinik yang sempit dan memberi keselesaan kepada pesakit.

Lawatan dilakukan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Klinik Kesihatan Gelang Patah pada Ahad. - Foto: FB Onn Hafiz
Lawatan dilakukan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi ke Klinik Kesihatan Gelang Patah pada Ahad. - Foto: FB Onn Hafiz

"Pada tahun 2015, projek naik taraf sistem pendawaian dilaksanakan. Diikuti pada tahun 2020 berlaku pengubahsuaian dan pembinaan tandas pesakit.

"Pada tahun lepas pula klinik demam telah dibangunkan, dan pada tahun ini (Mei hingga Ogos) menerusi projek klinik daif telah membangunkan ruang menunggu pesakit di pintu masuk utama dan ruang menunggu klinik demam.

Artikel Berkaitan:

"Pada Ogos lalu hingga kini pula sedang dilaksanakan projek naik taraf Covid Assessment Centre (CAC) dan tandas pesakit termasuk pembinaan tandas orang kurang upaya (OKU),"katanya.

Selain itu, ujarnya parkir tambahan juga disediakan bagi pesakit berikutan isu parkir kenderaan yang terhad dan tidak tersusun di kawasan klinik.

Katanya, PKD Johor Bahru telah mendapat kebenaran daripada Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP) untuk menggunakan parkir MBIP yang terletak di hadapan klinik.

"Dari segi penyediaan aset pula, PKD Johor Bahru telah membuat perolehan satu unit mesin ultrasound yang baru dan di dalam proses penghantaran oleh pembekal.

"Bagi perolehan aset kerusi menunggu, kipas dan penyaman udara pula, persetujuan daripada Bahagian Kewangan, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk penyaluran peruntukan telah diperoleh.

"Semasa lawatan Menteri Besar, ambulans Klinik Kesihatan Tampoi telah digunakan buat sementara untuk menggantikan ambulans Klinik Kesihatan Gelang Patah yang sedang dalam proses pembaikan," jelasnya.

Tambahnya, JKNJ sentiasa komited dalam memastikan penyampaian perkhidmatan kesihatan yang berkualiti tinggi diberikan kepada pelanggan selaras dengan misi dan visi KKM,"katanya.

Pada Isnin, Onn Hafiz Ghazi melahirkan rasa amat sedih dan kecewa melihat keadaan Klinik Kesihatan Gelang Patah, di sini yang sangat daif.

Beliau yang melawat klinik itu pada Ahad, berkongsi keadaan ruang menunggu yang sesak dan sempit, selain keadaan fasiliti seperti kerusi, kipas dan pendingin hawa yang usang serta rosak.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!