TVET bukan sekadar kerja
Jumlah itu merangkumi RM100 juta bagi menyediakan pensijilan profesional yang diiktiraf industri kepada graduan TVET dan sebagai insentif kepada industri untuk bekerjasama dengan institusi TVET awam.
Penyediaan graduan TVET penting kerana industri Malaysia bakal mempunyai ratusan ribu peluang pekerjaan bergaji tinggi dalam sektor yang digalakkan seperti aeroangkasa, elektrik dan elektronik, kimia dan petrokimia, ekonomi digital serta farmaseutikal seperti yang digariskan oleh Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).
Sektor ini memerlukan tenaga kerja teknikal bagi memacu pembangunan industri dan ekonomi Malaysia seterusnya.
Salah satu usaha merombak pendidikan TVET negara melalui kerjasama dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan swasta adalah program Akademi Dalam Industri yang diterajui oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), agensi di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).
Ia bertujuan untuk menyediakan kemahiran sambil bekerja dalam tempoh sehingga 18 bulan dengan peruntukan RM70 juta manakala RM30 juta sebagai galakan kepada pihak industri untuk melatih tenaga kerja tempatan.
Apa yang berlaku menunjukkan pendidikan kini bukan lagi sekadar di dewan kuliah, tetapi di bengkel, makmal dan lapangan kerja. Perubahan pasaran ekonomi dunia menunjukkan TVET kini bukanlah pilihan kedua kerana realitinya berbeza dengan permintaan pasaran kerja yang semakin memerlukan kemahiran praktikal.
Bagi lepasan graduan TVET pula, bidang ini membuka lebih banyak peluang dalam memperbaiki kehidupan, selain menambah baik ekonomi mereka.
Muhammad Zulhelmi Baharuddin, 22, misalnya, kini berpeluang bekerja di sebuah syarikat multinasional sebagai operator pengeluaran di DRB-HICOM, Pahang sebagai pemeriksa kualiti kereta Mercedes-Benz.
Dia yang sebelum ini bekerja di sebuah pasar raya bersyukur kerana diberi peluang melalui program Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN) dan memiliki Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 bahagian kualiti.
“Pelaksanaan inisiatif seperti Akademi Dalam Industri mampu memenuhi permintaan tenaga kerja dari industri serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing.” - Tengku Zafrul
“Saya pilih TVET sebab ia menawarkan pelbagai kursus yang sesuai dan memberikan fokus kepada keperluan industri serta menyediakan tenaga kerja yang kompeten.
“Melalui TVET, saya dapat mempelajari kemahiran teknikal yang boleh diadaptasikan terus di tempat kerja dan diperlukan oleh industri,” jelasnya.
Muhammad Afiq Asman, 28, yang kini bekerja di sebuah syarikat automotif dan kejuruteraan tempatan, MAG Auto Garage Services Sdn Bhd di Seremban, Negeri Sembilan merupakan antara produk kelahiran TVET.
“Jiwa saya lebih kepada ‘hands-on’, jadi saya ambil keputusan untuk menjadi perantis di syarikat ini. Saya mengikuti SLDN dan memiliki Sijil SKM Tahap 2 dalam perkhidmatan pembaikan kenderaan ringan.
“Sebelum bekerja di sini, saya tidak tahu langsung tentang mesin, kimpalan dan asas servis kereta tetapi sekarang ini semuanya saya sudah boleh buat,” katanya.
Sementara itu, Lee Wai Mun, 23, pula rasa amat bertuah kerana dapat bekerja di salah sebuah syarikat pembungkusan terbesar di rantau ASEAN iaitu Kian Joo Can Factory Berhad.
Menurutnya, dia bersyukur kerana kelulusan yang dimiliki iaitu SKM bahagian grafik dan Diploma Kemahiran Malaysia (DKM) Tahap 4 memberikan kelebihan kepadanya untuk bekerja di syarikat besar, sesuatu yang tidak pernah difikirkannya.
“Selepas habis persekolahan, saya memang ada buat kajian tentang peluang dalam melanjutkan pelajaran. Kos belajar TVET ini lebih murah, dapat elaun dan peluang kerja yang besar dalam pasaran.
“Saya sendiri dan rakan-rakan di syarikat ini yang berkelulusan TVET dalam bidang penyelenggaraan mesin, elektronik, percetakan, mekanikal dan berkaitan makanan adalah bukti kejayaan program itu sendiri,” jelasnya.
Kemahiran pekerja TVET jadi buruan majikan
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, peningkatan kemahiran para pekerja adalah asas kepada reformasi industri Malaysia.
“NIMP menyasarkan penciptaan 700,000 peluang pekerjaaan berkemahiran tinggi dalam sektor pembuatan menjelang tahun 2030.
“Pelaksanaan inisiatif seperti Akademi Dalam Industri mampu memenuhi permintaan tenaga kerja dari industri serta mengurangkan kebergantungan negara terhadap pekerja asing,” kata Zafrul.
Lepasan TVET juga sering menjadi pilihan majikan kerana kemahiran yang dimiliki, selain mempunyai gerak kerja yang mantap.
Perkara itu diakui Pengarah MAG Auto Garage Services Sdn Bhd, Dr Azlina Ahmad, yang mana 16 daripada 20 pekerja di syarikatnya yang berasaskan automotif dan kejuruteraan adalah lepasan TVET.
Lebih menarik, mereka mempunyai SKM Tahap 1 hingga 3, malah ada antaranya lulusan tahfiz yang dilatih untuk menjadi ‘tuner’ motosikal dan mekanik serta ada yang memiliki diploma komputer.
“Graduan TVET sering menjadi pilihan kerana mereka dilihat sebagai tenaga kerja yang sangat berharga dalam industri. Industri kini, antaranya sektor automotif, pembinaan, kejuruteraan, dan pembuatan sangat memerlukan pekerja yang boleh ‘hands-on’.
“Graduan TVET datang dengan kemahiran yang tepat pada masa yang tepat, membantu memenuhi kekurangan tenaga kerja terlatih yang dihadapi banyak industri,” katanya.
Ditanya penilaian terhadap graduan TVET di pasaran kerja, beliau menjelaskan ada beberapa kriteria termasuk kemahiran teknikal dikuasai, kebolehan bekerja dalam pasukan dan sejauh mana mereka boleh beradaptasi dengan teknologi baharu.
Eksekutif Pengurusan Bakat HICOM Automotive Manufacturers (Malaysia) Sdn Bhd, Tc Mohammad Fairil Din @ Samsudin berkata, terdapat 24 graduan TVET yang kini bersama syarikat itu dan bekerja sebagai operator, juruteknik serta pembantu teknikal.
Jelasnya, graduan TVET menjadi pilihan kerana kemahiran dan dilatih bersesuaian dengan industri. Disebabkan itu, pasaran kerja untuk mereka amat besar kerana banyak sektor di negara ini yang memerlukan tenaga kerja berkemahiran.
TVET sebagai persediaan masa depan Pemenang 18 anugerah kebangsaan untuk kreativiti dan inovasi di Malaysia dan luar negara, Dr Bugs Tan melihat TVET sebagai persediaan untuk masa depan negara.
Menurutnya, elektronik kini menjadi salah satu sektor utama di Malaysia dan sangat penting untuk pembangunan industri dan ekonomi negara.
“Seiring dengan itu, ada banyak pembangunan dan pelaburan daripada dalam dan luar negara yang memerlukan tenaga kerja yang berkemahiran. Disebabkan itu, TVET amat penting, atau ada pelabur tetapi tiada tenaga kerja, kita tak boleh merealisasikannya.
“Dalam TVET ada peranan sosialnya untuk membuka jalan kerjaya kepada mereka yang mungkin tiada hala tuju selepas habis persekolahan. Kerajaan mulakan pendekatan SLDN, yang mana membantu mereka belajar dan bekerja pada masa yang sama,” jelasnya yang juga Ketua Pendidikan Kemahiran TVET di Kolej ViTrox.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!