Lelaki ditahan bersama barangan runcit, beras Siam
RANTAU PANJANG - Seorang lelaki yang mengambil upah sebagai penghantar barangan runcit serta beras seludup dari Thailand ditahan Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) Pengkalan Chepa ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) Banggol Kong, Jeram Perdah di sini pada Selasa.
Suspek yang berusia 51 tahun memandu van jenis Nissan Vanette dalam keadaan mencurigakan semasa melalui SJR pada jam 10.30 malam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan terhadap kenderaan terbabit telah menemui 53 kotak barangan runcit dan 690 kilogram (kg) beras yang dipercayai diseludup dari Thailand.
"Barangan runcit bernilai RM5,000 manakala beras RM2,768 itu dibawa masuk ke sini tanpa dokumen yang sah.
"Anggaran keseluruhan rampasan ialah RM22,768 dan kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983 dan Sek 20 Akta Kawal Selia Padi dan Beras Negara 1994," katanya pada Rabu.
Menurut beliau, suspek dan barangan rampasan diserahkan ke Balai Polis Jeram Perdah untuk tindakan selanjutnya.
Ujarnya, PGA akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara menerusi Op Taring Wawasan Kelantan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!