[VIDEO] CEO GISBH, isteri, anak 'Abuya' dan 19 individu didakwa jadi ahli kumpulan jenayah terancang

A
A
A

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), Datuk Nasiruddin Mohd Ali; isterinya, Datin Azura Md Yusof; anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa'ari dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu.

Nasiruddin, 65, dan Azura, 57, yang memakai jubah sementara Mohammad Adib, 32, berbaju T hitam, bersama 19 tertuduh lain, mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim, Lailatul Zuraida Harron @ Harun.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

CEO GISBH, isteri, anak Abuya dan 19 individu lain didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu di Mahkamah Sesyen pada Rabu
CEO GISBH, isteri, anak Abuya dan 19 individu lain didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang sejak 2020 lalu di Mahkamah Sesyen pada Rabu

Seramai 11 tertuduh lelaki lain ialah Mohd Shukri Mohd Noor, 53, Hasnan Abd Hamid, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, Shuhaimi Mohamed, 56, Muhammad Afdaluddin Latif, 34, Mohamad Sayuti Omar, 35, Mohd Fazil Md Jasin, 57, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.

Lapan tertuduh wanita lain ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat@ Asmanira Muhammad Ramly, 44, Mahani Kasim, 54, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28, Nur Jannah Omar, 32 dan Siti Salmiah Ismail, 57.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini, pada Oktober 2020 hingga 11 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Artikel Berkaitan:

Sebahagian daripada 22 individu yang akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.
Sebahagian daripada 22 individu yang akan didakwa di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang.

Mahkamah menetapkan 23 Disember depan untuk sebutan semula kes.

Dalam prosiding ini, semua tertuduh diwakili peguam-peguam, Datuk Rosli Kamaruddin, Muhammad Zaim Rosli, M Hafiz Zainol Abidin, Dorina Abdullah dan Boestamam Ahmad.

Barisan pendakwaan pula dikendalikan Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Razali Che Ani, Datuk Nazran Mohd Sham, Lina Hanini Ismail dan Siti Hajar Mat Radzi.

Pada 10 Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Selain itu, sebanyak 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!