Waktu daftar masuk, keluar hotel bukan bidang kuasa MOTAC
KUALA LUMPUR - Perkara berkaitan rumah tumpangan dan pemalaman, termasuk kawal selia operasi premis diletakkan di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, bukan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC).
Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, bersandarkan itu aktiviti daftar masuk dan daftar keluar premis penginapan termasuk hotel juga berada di bawah seliaan kerajaan negeri.
Menurutnya, ia termaktub dalam Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang digubal lebih 30 tahun lepas.
“Ini bermakna kawalan rumah tumpangan dan rumah bermalaman adalah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri yang diselia oleh bidang kuasa tempatan (PBT) dan negeri masing-masing.
“Akta Industri Pelancongan 1992 (Akta 482) yang telah diwarta pada tahun 1992 memperuntukkan berkenaan keperluan untuk pendaftaran premis penginapan pelancong termasuk hotel.
“Tetapi kawalan selia dan penguatkuasaan operasi hotel bukan terletak kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (PN-Bukit Gantang) yang membangkitkan isu penetapan waktu daftar masuk dan keluar oleh pengusaha hotel.
Mengulas lanjut, King Sing berkata, bagaimanapun MOTAC akan mengadakan perbincangan dengan semua pihak berkaitan, termasuk kerajaan negeri dan PBT berkaitan kewajaran memasukkan peruntukan baharu ke dalam akta tersebut.
Tambahnya, kementerian juga akan mengadakan mesyuarat dengan Kementerian Dalam Negeri dan Kementerian Sumber Manusia dalam isu pengambilan pekerja asing untuk sektor perhotelan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!