Banjir: 43 fasiliti kesihatan di Terengganu berisiko terjejas

Dua hospital di negeri ini yang berisiko terputus hubungan akibat banjir ialah Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu.(Gambar hiasan) Foto Facebook Derma Darah Terengganu Kite. Gambar kecil: Dr Kasemani
Dua hospital di negeri ini yang berisiko terputus hubungan akibat banjir ialah Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu.(Gambar hiasan) Foto Facebook Derma Darah Terengganu Kite. Gambar kecil: Dr Kasemani
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) mengenal pasti 43 fasiliti kesihatan pelbagai kategori yang berisiko terjejas akibat banjir melanda negeri ini.

Pengarahnya, Datuk Dr Kasemani Embong berkata, semua fasiliti kesihatan seperti klinik desa, klinik pergigian, klinik kesihatan, hospital dan pejabat kesihatan berisiko dimasuki air atau terjejas kerana terputus hubungan berikutan laluan keluar masuk yang dinaiki air.

Justeru, beliau memaklumkan semua persiapan telah dibuat bagi menghadapi banjir termasuk pemindahan aset-aset kesihatan yang mungkin terlibat dan terjejas akibat bencana tersebut.

"Dua hospital di negeri ini yang berisiko terputus hubungan akibat banjir ialah Hospital Besut dan Hospital Hulu Terengganu.

"Selain itu, klinik kesihatan turut berisiko terputus hubungan ialah Klinik Kesihatan Felda Mengkawang, Klinik Kesihatan Tengkawang, Klinik Kesihatan Bukit Payung serta Klinik Kesihatan Batu 2.

"Bagi klinik pergigian pula, lokasi yang mungkin terjejas ialah Klinik Pergigian Tengkawang yang terputus hubungan dan dimasuki air serta Klinik Pergigian Pasir Akar dan Klinik Pergigian Batu 2," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Rabu.

Sebelum ini Sinar Harian melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, orang ramai digesa bersiap sedia bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang diramal bermula lebih awal iaitu penghujung bulan ini berbanding lazimnya pada awal November, susulan perubahan cuaca.

MTL membawa hujan lebat terutamanya kepada negeri-negeri di Pantai Timur Semenanjung Malaysia, Barat Sarawak dan Timur Sabah manakala Monsun Barat Daya secara relatifnya menunjukkan cuaca yang lebih kering.

Artikel Berkaitan:

Ia menyaksikan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang MTL yang dijangka berakhir pada Mac tahun depan.

Mengulas lanjut, Dr Kasemani berkata, pihaknya telah melakukan persediaan bagi menghadapi banjir dengan memindahkan aset-aset kesihatan yang mungkin terlibat selain menghantar ubat-ubatan yang mencukupi pada musim tengkujuh nanti.

"Kami telah kenal pasti mana-mana fasiliti kesihatan yang berkemungkinan akan terputus hubungan dan ia adalah dalam perhatian kami.

"Kami juga sudah hantar ubat-ubatan yang mencukupi untuk bekalan musim tengkujuh ini.

"Selain itu, orang ramai yang tinggal di kawasan mudah dinaiki air terutama golongan berisiko tinggi serta mereka menghidap penyakit kronik seperti diabetes dan darah tinggi yang memerlukan pemeriksaan serta rawatan susulan dinasihatkan supaya memastikan ubat-ubatan dan kad pesakit anda dibawa bersama jika berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS)," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!