Pelaksanaan cukai jalan, lesen memandu digital kekal - Anthony Loke

Anthony (dua dari kiri) melawat reruai ketika Persidangan dan Pameran Logistik ASEAN di Johor Bahru, pada Rabu.
Anthony (dua dari kiri) melawat reruai ketika Persidangan dan Pameran Logistik ASEAN di Johor Bahru, pada Rabu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Pengangkutan tidak akan mengkaji penggunaan cukai jalan kenderaan dan Lesen Memandu Malaysia (LMM) secara digital yang dilaksanakan sejak Februari tahun lalu.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, inisiatif pendigitalan cukai jalan dan LMM akan terus dikekalkan kerana selari dasar digitalisasi negara.

"Kementerian tidak akan kaji semula cukai jalan dan lesen memandu secara digital walaupun terdapat permintaan daripada pengguna.

"Kita kena progresif, kerana ketika ini banyak perkhidmatan dinaik taraf kepada digital termasuk cukai jalan.

"Namun kita masih boleh cetak cukai jalan digital, jika terdapat perjalanan ke luar negara termasuk negara jiran bagi mematuhi undang-undang mereka," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan dan Pameran Logistik ASEAN di sini, pada Rabu.

Dalam pada itu Anthony berkata, bagi perjalanan kenderaan ke luar negara, cukai jalan dan lesen memandu digital boleh dicetak di dalam kertas dan disimpan dalam kereta.

"Sekiranya hendak luar negara boleh cetak sahaja cukai jalan dan lesen memandu digital. Tidak menjadi masalah dan tidak perlu dikaji balik.

Artikel Berkaitan:

"Pendigitalan ini akan terus dikekalkan tetapi tidak bermaksud cukai jalan dan lesen memandu digital tidak boleh dicetak kerana ia boleh dicetak sendiri.

"Jika kendak masuk negara jiran termasuk Thailand yang tetapkan syarat perlu 'roadtax' fizikal, cetak sahajalah, tak susah pun," ujarnya.

Pada Ogos tahun lalu, dua lelaki warga Malaysia meluahkan rasa tidak puas hati apabila dikenakan tindakan saman oleh pihak berkuasa Thailand meskipun sudah mempamerkan lesen memandu digital yang dimiliki mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!