Malaysia tumpu rundingan Kod Tatalaku Laut China Selatan

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Malaysia akan memberi tumpuan kepada rundingan draf Kod Tatalaku (COC) Laut China Selatan bagi memastikan semua pihak menghormati hak kedaulatan di perairan itu.

Timbalan Menteri Luar, Datuk Mohamad Alamin berkata, kesempatan tersebut akan digunakan kerajaan selaku Pengerusi ASEAN 2025.

“Malaysia sedang memainkan peranan penting di peringkat antarabangsa sebagai Negara Penyelaras Hubungan Dialog ASEAN-China untuk tempoh tiga tahun dari Ogos 2024 hingga Julai 2027.

“Sebagai Negara Penyelaras, antara peranan Malaysia adalah sebagai Pengerusi Bersama dengan China dalam merunding draf COC. Dalam hubungan ini, Malaysia beriltizam untuk memastikan supaya kod tatalaku ini akan menjadi satu dokumen yang efektif dan substantif bagi menangani isu-isu yang berkaitan Laut China Selatan.

“Malaysia akan sentiasa memastikan bahawa COC yang dirundingkan tidak sekali-kali mengetepikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab soalan Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) yang memintanya menyatakan cadangan penyelesaian ketegangan di Laut China Selatan di antara China dengan Malaysia, Vietnam, Filipina, Brunei serta Taiwan.

Mohamad Alamin menambah, buat masa ini, negara-negara ASEAN dan China sedang merundingkan COC.

“Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia komited untuk menyelesaikan isu-isu berkaitan Laut China Selatan secara konstruktif, dengan menggunakan forum dan saluran diplomatik yang sesuai.

Artikel Berkaitan:

“Malaysia akan terus menyuarakan pendirian tegas berhubung isu Laut China Selatan di pelbagai platform bagi memastikan kedaulatan, hak kedaulatan dan kepentingan negara akan terus kekal terpelihara,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!