Peguam pertimbang cabar kes sertai kumpulan jenayah terancang GISBH

Seramai 22 individu pengurusan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dan isteri tiba bagi didakwa di Mahkamah Selayang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hari ini.
 Foto Bernama
Seramai 22 individu pengurusan tertinggi Global Ikhwan Services and Business Holding (GISBH) dan isteri tiba bagi didakwa di Mahkamah Selayang di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) hari ini.
 Foto Bernama
A
A
A

SELAYANG - [DIKEMAS KINI] Pasukan pembelaan bagi 22 pemimpin tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), yang didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu memberitahu, akan mengemukakan representasi bagi mencabar pertuduhan kes berkenaan.

Peguam, Datuk Rosli Kamaruddin berkata, pihaknya akan melihat sekiranya terdapat pertuduhan lain dikemukakan terhadap semua tertuduh dan pihak pembelaan akan melawan segala tohmahan yang dilemparkan.

"Kami akan menunggu arahan daripada anak guam sebelum memfailkan permohonan berkenaan kepada AGC (Jabatan Peguam Negara).

“Buat masa ini, mereka hanya didakwa atas satu pertuduhan sahaja iaitu terlibat dengan kumpulan jenayah terancang,” katanya ketika sidang akhbar di luar mahkamah.

Beliau berkata, pembelaan belum dimaklumkan sama ada semua anak guam masih berdepan siasatan tambahan bagi kes lain, antaranya Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).

Beliau juga berharap, anak guam tidak didakwa mengikut Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak.

Menurutnya, representasi berkenaan boleh dibuat berulang kali, terpulang kepada AGC untuk mempertimbangkannya atau sebaliknya.

“Ada kes atau tidak, ia akan ditentukan mahkamah, biar undang-undang dengar perkara itu.

Artikel Berkaitan:

“Jika ada bukti yang bagus, kita akan lawan kerana beban untuk membuktikan kes berada di bahu pihak pendakwaan,” katanya.

Pada Rabu, CEO GISBH, Datuk Nasiruddin Mohd Ali; isterinya, Datin Azura Md Yusof; anak bekas pengasas Al-Arqam, Mohammad Adib At-Tamimi Asa'ari dan 19 pemimpin tertinggi perniagaan itu didakwa di Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu, masing-masing atas satu pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, sejak 2020 lalu.

Seramai 11 tertuduh lelaki lain ialah Hasnan Abd Hamid, 53, Mohd Shukri Mohd Noor, 53, Mokhtar Tajuddin, 60, Shuhaimi Mohamed, 56, Muhammad Afdaluddin Latif, 34, Mohamad Sayuti Omar, 35, Mohd Fazil Md Jasin, 57, Mohd Dhirar Fakhrur Razi, 34, Muhammad Zahid Azhar@Nadzri, 51, Abu Ubaidah Ahnad Shukri, 34 dan Muhammad Fajrul Islam Khalid, 28.

Sementara lapan tertuduh wanita pula ialah Hamimah Yakub, 72, Asmat@ Asmanira Muhammad Ramly, 44, Mahani Kasim, 54, Siti Salmiah Ismail, 57, Siti Hajar Ismail, 51, Khalilatul-Zalifah Mohammad Jamil, 27, Nurul Jannah Idris, 28 dan Nur Jannah Omar, 32.

Tiada pengakuan direkodkan kerana kes mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA), berada bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan yang dibaca berasingan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, Kumpulan Global Ikhwan Service and Business Holdings (GISBH), di Jalan Desa Bandar Country Homes, Rawang di sini, pada Oktober 2020 hingga 11 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan yang membawa penjara antara lima hingga 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!