Penyelam bawa naik pukat hantu lebih 100kg

Keadaan terumbu karang yang diselimuti jaring pukat yang tersangkut menyebabkan banyak spesies hidupan marin mati akibat terperangkap pada pukat tersebut.
Keadaan terumbu karang yang diselimuti jaring pukat yang tersangkut menyebabkan banyak spesies hidupan marin mati akibat terperangkap pada pukat tersebut.
A
A
A

DUNGUN - Sekumpulan penyelam yang menyertai aktiviti membersihkan dasar laut berjaya menaikkan pukat hantu seberat lebih 100 kilogram yang dikesan tersangkut di kawasan terumbu karang dekat perairan Pulau Tenggol di sini.

Seorang penyelam, Shafuan Zainoddin, 50, berkata, proses pembersihan itu dijalankan pada 14 Oktober lalu selepas pihaknya mengesan kewujudan pukat tersebut ketika melakukan aktiviti selaman di lokasi berkenaan.

Menurutnya, pukat jenis jerut itu dipercayai hanyut ke kawasan berkenaan sebelum tersangkut di kawasan berbatu yang menjadi habitat terumbu karang, sekali gus mengancam hidupan marin.

"Pukat hantu ini mula dikesan pada 7 Oktober lalu dan kita berjaya naikkan ke darat seminggu kemudian. Ia adalah pukat yang ke lima berjaya di bawa naik sejak kami jalankan operasi pembersihan dasar laut bermula tahun lepas.

"Kami mengesan kedudukan pukat itu pada jarak 15 hingga 24 meter dari permukaan air di mana kami dapati banyak spesies hidupan laut termasuk ikan-ikan yang masih baru telah mati akibat terperangkap pada pukat tersebut," katanya ketika dihubungi Sinar Harian, di sini, pada Rabu.

Shafuan (dua dari kanan) bersama kumpulan penyelam yang berjaya membawa naik pukat hantu seberat lebih 100 kg ketika aktiviti pembersihan dasar laut di perairan Pulau Tenggol, baru-baru ini.
Shafuan (dua dari kanan) bersama kumpulan penyelam yang berjaya membawa naik pukat hantu seberat lebih 100 kg ketika aktiviti pembersihan dasar laut di perairan Pulau Tenggol, baru-baru ini.

Shafuan atau lebih mesra digelar Che Wan berkata, operasi membawa naik pukat tersebut dari dasar laut ke daratan mengambil masa kira-kira satu jam.

"Proses menaikkan pukat itu bermula jam 9.30 hingga 10.30 pagi di mana kami ambil masa kira-kira 20 minit untuk bawa pukat dari dasar laut ke permukaan air.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, kira-kira 30 minit diperlukan untuk bawa pukat tersebut ke dalam bot menuju ke daratan," ujarnya.

Beliau yang juga pemilik Che Wan Scuba (CWS Travel & Adventure Sdn Bhd) berkata, pihaknya telah memaklumkan kepada Jabatan Perikanan Negeri Terengganu, Majlis Perbandaran Dungun serta Tourism Malaysia Terengganu berhubung aktiviti pembersihan itu.

Shafuan memberitahu, ia bagi memastikan jaminan terhadap aspek keselamatan kesemua penyelam yang terlibat.

Katanya, proses tersebut melibatkan tujuh lagi penyelam lain iaitu Azrul Hadi Che Husin, 39; Mohamad Sani, 40; Auzry Shazley Banuri, 31; Muh Arif Samad, 30; Amiruddin Abdul Rahman, 44; Izzati Yussof, 37 dan Muhamad Zamani Mohd Dawam, 35.

Dalam pada itu, Shafuan berkata, usaha membasmi pukat hantu menjadi tanggungjawab semua pihak bagi memelihara dan memulihara hidupan laut daripada mengalami kepupusan.

"Pihak perikanan dan pelancongan selam skuba sama-sama bergantung kepada laut sebagai sumber pendapatan, jadi kita amat berharap supaya hasil laut dan batu karang dapat dijaga untuk kebaikan bersama.

"Usaha ini juga penting agar khazanah laut yang kita ada hari ini dapat menjadi tatapan generasi akan datang," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!