[VIDEO] Lapan ajaran sesat sedang dipantau dekat - Zulkifli

A
A
A

KUALA LUMPUR - Selain GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH), kerajaan ketika ini juga sedang memantau secara dekat lapan ajaran sesat yang didapati wujud di seluruh negara.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan berkata, dalam masa sama risikan dan siasatan terhadap 12 lagi ajaran sesat turut dilakukan.

“Sebenarnya untuk memberikan jaminan, mungkin itu di luar bidang kuasa kita. Namun untuk memberikan usaha berterusan dan usaha mantap agar dapat memelihara akidah itu sedang kita jalankan.

“Itu yang saya maklumkan bahawa kita telah mengaktifkan semula Jawatankuasa Pemandu Menangani Ajaran Sesat Peringkat Kebangsaan (JAPAS).

“Selain daripada itu, apa yang kita lakukan adalah kita juga melihat daripada aspek yang lain iaitu aspek pemulihan dan pencegahan,” katanya di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pada Persidangan Dewan Rakyat sempena Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-15 di Bangunan Parlimen pada Rabu. Foto Bernama

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan daripada Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN - Jelebu) yang bertanya mengenai tindakan tegas kerajaan dalam menangani isu ajaran sesat di Malaysia.

Zulkifli dalam masa sama menambah, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) akan terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan akidah dan pegangan umat Islam termasuk ahli-ahli GISBH.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, ia dilakukan melalui pembudayaan ilmu, pentarbiyahan dan program pengukuhan akidah yang komprehensif dan berkesan.

Sementara itu, menjawab soalan tambahan Abd Ghani Ahmad (PN-Jerlun) mengenai sama ada kerajaan bercadangan untuk mewujudkan undang-undang khusus bagi membendung gejala Al-Arqam daripada terus ‘dihidupkan’, beliau berkata, perkara itu memerlukan kajian mendalam.

“Keperluan kepada undang-undang (untuk bendung ajaran Al-Arqam), ia perlu dilakukan dengan kajian mendalam.

“Ini penting supaya sebarang inisiatif atau langkah yang diambil mesti mengambil kira dapatan menyeluruh daripada pihak berkaitan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!