Dr Syed Muhammad Naquib dikurnia gelaran profesor diraja

Sultan Ibrahim berkenan beramah mesra dengan tokoh intelek Islam Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (tiga, kiri) pada majlis pengurniaan watikah pelantikan profesor diraja di Istana Negara hari ini. Foto Bernama
Sultan Ibrahim berkenan beramah mesra dengan tokoh intelek Islam Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas (tiga, kiri) pada majlis pengurniaan watikah pelantikan profesor diraja di Istana Negara hari ini. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim hari ini berkenan mengurniakan watikah pelantikan profesor diraja kepada tokoh intelek Islam Tan Sri Dr Syed Muhammad Naquib Al-Attas di Istana Negara di sini.

Syed Muhammad Naquib, 93, menerima pengiktirafan gelaran tertinggi dalam kalangan profesor itu berikutan jasa serta sumbangan beliau terhadap negara terutama dalam pendidikan Islam.

Turut hadir menyaksikan majlis watikah pelantikan itu ialah Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir.

Syed Muhammad Naquib merupakan pengasas Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa (ISTAC) dan seorang tokoh pemikir peradaban Islam kontemporari yang amat disegani serta dihormati di dalam dan luar negara.

Beliau telah memperkenalkan gagasan Islamisasi ilmu yang diterapkan dalam pelbagai cabang pengetahuan merangkumi pendidikan agama, sejarah, falsafah, teologi, metafizik, filologi, semantik, sastera dan seni.

Profesor diraja gelaran tertinggi yang dianugerahkan kepada seseorang profesor oleh Yang di-Pertuan Agong.

Gelaran tertinggi itu dikurniakan kepada ahli akademik yang memberikan sumbangan bernilai kepada masyarakat serta kemajuan Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Satu-satunya tokoh yang pernah menerima gelaran profesor diraja ialah Allahyarham Profesor Diraja Ungku Abdul Aziz Ungku Abdul Hamid pada 1978. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!