Kaji semula penghapusan subsidi pendidikan golongan T15 - Muhyiddin
KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran supaya mengkaji semula penghapusan subsidi pendidikan di sekolah berasrama penuh untuk golongan maha kaya atau T15.
Bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Ahli Parlimen Pagoh berkata, rakyat tanpa mengira perbezaan kaum, wilayah atau kelas pendapatan mesti diberikan peluang untuk mendapatkan akses kepada pendidikan percuma yang berkualiti.
“Sudahlah mereka terpaksa membayar harga petrol yang lebih mahal bermula tahun hadapan, mereka juga terpaksa membayar lebih untuk pendidikan anak-anak di asrama penuh.
“Seeloknya, hal pendidikan untuk anak-anak ini janganlah diganggu. Dasar memberikan pendidikan percuma kepada semua lapisan rakyat yang diamalkan sejak dahulu mesti diteruskan,” katanya ketika sesi Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini pada Rabu.
Muhyiddin menambah, beberapa pelaksanaan dalam Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lalu akan berikan kesan rantaian kepada rakyat
Jelas Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, pelaksanaan penyasaran subsidi RON95 misalnya akan memberikan kesan terus kepada kenaikan harga barang.
“Jika subsidi petrol RON95 ditarik pada tahun hadapan, saya pasti kesan berantainya akan dirasai oleh rakyat.
“Walaupun kerajaan memberi jaminan bahawa hanya golongan T15 yang akan membayar lebih, tetapi siapakah golongan T15 ini? Berapa jumlah mereka? Adakah mereka ini golongan maha kaya?” soalnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!