Malaysia belum capai taraf negara bangsa - Kok Seong

Kok Seong (tengah) menjadi panel Wacana 152: Sayangi Bahasa Sayangi Negara di Tunjong di Kota Bharu pada Rabu. Foto Sinar Harian
Kok Seong (tengah) menjadi panel Wacana 152: Sayangi Bahasa Sayangi Negara di Tunjong di Kota Bharu pada Rabu. Foto Sinar Harian
A
A
A

KOTA BHARU - Malaysia belum mencapai taraf negara bangsa terutama melibatkan aspek penghayatan dan keinsafan terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa jiwa bangsa.

Felo Kanan, Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Emeritus Datuk Dr Teo Kok Seong, berkata, perit untuk diakui namun setelah 67 tahun Merdeka, perjalanan masih jauh untuk negara ini mencapai pembentukan sebuah negara bangsa.

Kok Seong. Foto Sinar Harian
Kok Seong. Foto Sinar Harian

Katanya, dalam kelompok bangsa, misalnya Cina, dapat dilihat kaum itu di negara ini bersunguh-sungguh melindungi dan mempertahankan bahasa mereka ketika isu-isu berbangkit berkait sekolah-sekolah Cina.

“Manifestasi yang ditunjukkan itu ada pada setiap bangsa di Malaysia, tetapi tidak ada bagi bahasa jiwa terhadap bahasa Melayu sebagai bahasa negara.

“Malaysia bukanlah enam atau tujuh tahun Merdeka namun permulaan ke arah negara bangsa masih samar dan memerlukan tindakan segera bagi melihat kenapa keinsafan falsafah bahasa jiwa bangsa terhadap bahasa Melayu dalam setiap warga negara itu belum wujud,” katanya.

Hadirin hadir mendengar wacana yang berlangsung di Tunjong, Kota Bharu. Foto Sinar Harian
Hadirin hadir mendengar wacana yang berlangsung di Tunjong, Kota Bharu. Foto Sinar Harian

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana 152: Sayangi Bahasa Sayangi Negara di Tunjong di sini, pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Kok Seong yang juga Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengulas, menginsafi falsafah ‘bahasa jiwa bangsa’ cukup penting kerana pupus bahasa maka akan pupuslah sesebuah budaya.

Turut mengambil contoh negara jiran Indonesia yang setiap warganya cekap berbahasa Indonesia, sentiasa berbangga, menyayangi dan paling tinggi taat kepada bahasa mereka.

Katanya lagi, bahasa ialah identiti dan pengenalan sesebuah bangsa selain wadah dalam menyampaikan nilai, akal budi serta segala macam perihal yang baik termasuk sejarah bangsa tersebut kepada generasi akan datang.

“Selepas 67 tahun ini, setiap seorang daripada rakyat Malaysia sepatutnya cekap berbahasa Melayu.

“Tidak cukup hanya mempunyai pengetahuan yang mencukup tetapi tidak memahami dan menjiwai falsafah ‘bahasa jiwa bangsa’ dalam pembentukan negara bangsa,” ujar beliau.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!