Hun Haqeem janji 'tak naik harga'

Hun berharap pihak produksi pandai menilai hasil kerjanya sebelum ini.
Hun berharap pihak produksi pandai menilai hasil kerjanya sebelum ini.
A
A
A

BIARPUN memenangi trofi Aktor TV Popular di Anugerah Bintang Popular (ABP) baru-baru ini, pelakon Hun Haqeem berjanji tidak akan menaikkan harga sebagai pelakon televisyen mahupun filem.

Sebaliknya ujar Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, dia berharap pihak produksi yang memberi penilaian sewajarnya terhadap hasil kerja sebelum menawarkan tawaran kerja atau bayaran terhadapnya.

"Alhamdulillah memang saya banyak terima tawaran sekarang, tetapi menang ABP atau tidak, saya akan sentiasa buat yang terbaik, bak kata Celine Dion 'show must go on'.

Hun bersama barisan pelakon From Saga With Love 2 iaitu Ikmal Amry, Sophia Albarakbah, Fimie Don dan Siti Khadijah.
Hun bersama barisan pelakon From Saga With Love 2 iaitu Ikmal Amry, Sophia Albarakbah, Fimie Don dan Siti Khadijah.

"Jadi mengenai harga atau tawaran itu, terpulanglah pada mereka yang menawarkan. Berapa yang mereka ingin tawarkan kepada saya adalah nilai yang mereka terhadap hasil kerja saya.

"Apa pun saya tetap akan memilih atau mengutamakan sebuah karya yang bagus berbanding berapa jumlah mereka tawar kepada saya. Saya mahu bersama hasilkan karya memberi impak seperti filem-filem arwah Yasmin Ahmad, yang membuatkan saya berada di sini hari ini," katanya.

Hun berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran drama terbaharu lakonannya di platform penstriman, Viu iaitu From Saga With Love 2 di TRX Mall, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Ditanya pendapatnya mengenai kemungkinan pandangan skeptikal segelintir produksi mengenai 'harga' Hun yang mungkin meningkat selepas ini, bintang berusia 26 tahun itu tidak dapat menghalang segala spekulasi di luar jangkaan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun tegas bintang W: Two World itu, bagi mereka yang pernah bekerjasama dengannya, pasti tahu komitmen dan hasil kerja bagaimana diberikan dalam sesebuah karya.

"Apa sahaja pandangan orang memang saya tidak boleh kawal, tetapi dari sudut komitmen, jika awak upah saya, saya akan pastikan semuanya berbaloi meliputi masa, tubuh dan jiwa saya untuk produksi itu.

"Itu sahaja yang dapat saya janjikan dan sekiranya mereka pernah bekerjasama dengan saya sebelum ini, mereka tahu saya bagaimana," jelasnya.

Sementara itu, berkongsi penglibatannya dalam siri popular musim kedua, From Saga With Love 2, Hun berkata, dia sangat teruja apabila diberi kepercayaan untuk menyertai sebuah naskhah yang mendapat sambutan hangat tahun lalu.

Lebih bermakna, apabila berpeluang menjalani penggambaran di Saga, Jepun hampir sebulan bersama barisan pelakon lain iaitu Ikmal Amry, Sophia Albarakbah, Fimie Don dan Siti Khadijah.

"Mungkin ramai tidak tahu, saya dan Am (Ikmal) sudah berkawan lebih 10 tahun dan kuasa ALLAH, kami bergandingan dalam satu naskah buat pertama kali.

"Seronok bila menjalani penggambaran di sana sebab orang Jepun layan kami sangat bagus. Apabila penggambaran sedang berjalan, mereka pegang board yang bertulis penggambaran sedang dijalankan.

"Bukan itu sahaja, alumni di Universiti Saga turut berganding bahu memasak nasi beriyani untuk kami. Memang pengalaman yang berharga sebab semua sumbang sesuatu sepanjang penggambaran itu," katanya.

Berkongsi perkembangan lainnya, Hun berkata, jadualnya setakat ini sudah padat di mana dia akan kembali ke Jepun untuk pembukaan Levis pada Disember ini dan diikuti promosi filem Game of Life pada Januari nanti.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!