AI wajar jadi diberi keutamaan dalam industri penyiaran global

Delegasi daripada 53 negara bertemu di Turkiye sempena Mesyuarat Bersekutu dan Persidangan Agung Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) 2024.
Delegasi daripada 53 negara bertemu di Turkiye sempena Mesyuarat Bersekutu dan Persidangan Agung Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) 2024.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kecerdasan Buatan (AI) wajar diberikan keutamaan dalam perancangan semua pihak khususnya untuk meningkatkan efisiensi dan produktiviti dalam pelbagai bidang.

Ketua Komunikasi Turkiye, Prof. Fahrettin Altun berkata, AI dapat menganalisis pelbagai data dan input dengan pantas selain membantu dalam membuat keputusan yang lebih tepat iaitu satu keperluan penting bagi memastikan survival organisasi media pada era dunia yang kian mencabar.

Menurutnya, penerapan AI dalam operasi harian khususnya dalam industri penyiaran dunia tidak dapat dielakkan kerana teknologi itu mampu mencipta audio-visual yang lebih mesra pengguna dan kos operasi yang lebih rendah.

“Pengguna tidak wajar gusar dengan pelbagai kemungkinan negatif hasil pengenalan AI sebagai aplikasi yang membantu manusia berasimilasi dengan teknologi penyiaran,” katanya dalam satu kenyataan.

Prof. Fahrettin Altun berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Bersekutu dan Persidangan Agung Kesatuan Penyiaran Asia Pasifik (ABU) 2024 di Istanbul, Turkiye.

Hampir 400 delegasi daripada keanggotaan 53 negara rantau Asia Pasifik hadir sempena program itu yang merupakan perhimpunan tahunan terbesar badan penyiaran dunia yang berlangsung dari 18 hingga 23 Oktober ini.

Radio Televisyen Turkiye (TRT) terpilih selaku tuan rumah bagi Mesyuarat Bersekutu dan Persidangan Agung ABU ke-61 pada tahun ini.

Malaysia diwakili oleh Ketua Pengarah Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPPTAR), Roslan Ariffin dan dua wakil Radio Televisyen Malaysia (RTM), selaku agensi penyiaran-media nasional negara.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, ketika diminta mengulas intipati ucapan Prof. Fahrettin, Roslan berkata, seperti diduga topik AI menjadi perbincangan utama dalam kalangan negara anggota ABU.

"Hasil perbincangan saya bersama rakan-rakan yang mengurus stesen penyiaran (televisyen dan radio) didapati tiada seorang wakil delegasi yang menolak penggunaan teknologi AI dalam penerbitan audio-visual, malahan agensi media masing-masing sedang berusaha mempercepatkan proses pelaksanaan AI di organisasi masing-masing," katanya.

Roslan (kiri) bersama bersama Ketua Pengarah TRT, Prof. Dr. Mehmet Zahid Sobacı.
Roslan (kiri) bersama bersama Ketua Pengarah TRT, Prof. Dr. Mehmet Zahid Sobacı.



Tambah Roslan lagi, sehubungan itu IPPTAR akan memberi penekanan bagi kursus AI dalam bidang penyiaran pada tahun depan bagi membantu industri penyiaran mendepani cabaran semasa.

Menurut beliau lagi, walau pun ada pihak yang mencurigai penggunaan AI, namun teknologi tersebut adalah satu keperluan kerana boleh membantu industri media di Malaysia membuat penjimatan dalam kos operasi harian berikutan kemerosotan pendapatan melalui pengiklanan dan komersil.

"AI bukan untuk mengganti peranan manusia sebaliknya AI melengkapkan keupayaan manusia hingga ke maksima," tegas Roslan yang turut dijemput sebagai sebagai salah seorang panel pada sesi perbincangan mengenai masa depan siaran radio yang berlangsung hari ini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!