Wanita kongsi detik cemas selamatkan anak saudara hampir diculik
SUNGAI BULOH - Tindakan pantas seorang wanita menarik anak saudaranya berjaya menyelamatkan kanak-kanak itu daripada diculik seorang lelaki warga asing di Kampung Bunga Raya, Rawang pada Selasa.
Menceritakan semula detik kejadian itu, S Kalaiarasi, 30, berkata, dia terkejut didatangi seorang lelaki tidak dikenali yang masuk ke dalam rumah dan terus memeluk anak saudaranya sebelum cuba membawanya lari.
"Saya menjerit dan berjaya mengambil kembali anak saudara sebelum lelaki itu terus melarikan diri,” katanya kepada media pada Rabu.
Kalaiarasi berkata, kejadian jam 12.40 tengah hari itu berlaku ketika dia bersama anak perempuan berusia setahun dan anak saudaranya bermain di ruang tamu rumah.
"Jeritan saya didengari jiran sebelum penduduk kampung yang menyedari kejadian tersebut bertindak mengejar dan menahan lelaki itu," katanya.
Difahamkan, sebelum kejadian itu, suspek ke rumah jiran mangsa yang berdekatan dan mengaku sebagai tukang cuci serta ingin mengemas rumah sekitar jam 12.30 tengah hari.
Ketika kejadian itu juga seorang kanak-kanak lelaki berusia setahun nyaris menjadi mangsa culik namun diselamatkan neneknya yang menyedari kejadian itu.
Terdahulu, Sinar Harian melaporkan tindakan seorang lelaki warga Nepal menyamar sebagai tukang cuci dan cuba menculik kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Kuang, di sini, gagal apabila dia ditahan orang ramai.
Kejadian itu turut tular di media sosial apabila beberapa video menunjukkan suspek diikat orang awam berhampiran lokasi kejadian.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor dilaporkan berkata, pihaknya mengesan dua video tular di Facebook menunjukkan seorang lelaki warga Nepal sedang disoal siasat selain satu lagi video menunjukkan lelaki itu dalam keadaan terbaring dengan tangan diikat.
Katanya, laporan awal mendapati seorang wanita berusia 47 tahun mendakwa terdengar jeritan jirannya meminta tolong memberitahu ada lelaki cuba menculik anaknya pada jam 12.40 tengah hari, Selasa.
Pihak polis membuka satu kertas siasatan Seksyen 363 Kanun Keseksaan.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!