MALBATT sumbang 36,000 liter air bersih untuk hospital Selatan Lubnan
KUALA LUMPUR - Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT 850-11) melakukan atur gerak bagi memberi bantuan kemanusiaan berupa sumbangan air bersih kepada Hospital Tibnine di Selatan Lubnan.
Markas Angkatan Bersama dalam satu kenyataannya berkata, atur gerak menyalurkan bantuan kemanusiaan itu dilakukan pada Isnin dan Selasa.
Kata kenyataan itu, ia merupakan sebahagian Program Jiwa Murni Civil Military Cooperation (CIMIC) bertujuan membantu masyarakat setempat yang terjejas konflik yang berlarutan di negara tersebut.
Katanya lagi, inisiatif bantuan kemanusiaan itu dikoordinasikan oleh J9-CIMIC melalui G9-CIMIC.
"Sebanyak 36,000 liter air bersih telah berjaya disumbangkan dalam tempoh dua hari.
"Ia melibatkan 12 anggota pengaman MALBATT yang diketuai oleh Ketua Komp C, Mejar Mohd Razalan Ahmad.
"Bantuan ini telah diterima oleh Pengarah Hospital Tibnine, Dr Mohamad Hemedeh," kata kenyataan itu pada Rabu.
Menurut Markas Angkatan Bersama, pihak hospital menerusi Dr Mohamad menzahirkan setinggi-tinggi ucapan terima kasih kepada MALBATT 850-11 di atas bantuan dihulurkan.
Katanya, pihak hospital amat terharu dengan keprihatinan MALBATT 850-11 yang dapat menyalurkan bantuan itu dalam masa yang tepat dan singkat.
Jelasnya, bantuan sumbangan air bersih itu akan digunakan dan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Hospital Tibnine.
Tambahnya lagi, sumbangan air bersih tersebut merupakan sebahagian daripada usaha Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Lubnan (UNIFIL) dengan kerjasama MALBATT.
Menurutnya, usaha itu bertujuan memberi bantuan kepada masyarakat tempatan terutama mereka yang mendepani konflik sedang berlaku di negara tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!