Pentingnya sarung tangan halal

MASIH ramai lagi masyarakat yang kurang sedar tentang kepentingan sarung tangan halal. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
MASIH ramai lagi masyarakat yang kurang sedar tentang kepentingan sarung tangan halal. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
A
A
A

RATA-RATA pengendali makanan pasti akan menggunakan sarung tangan dalam proses berkaitan dengannya.

Meskipun ia antara item yang kerap kali digunakan, tetapi masih ramai kurang sedar tentang kepentingan untuk menggunakan sarung tangan halal.

Eksekutif Halal, Kossan International Sdn Bhd (Kossan International), Nuraidah Kamarazaman menjelaskan, bagi umat Islam, ia penting bagi memastikan cara pemprosesannya benar-benar suci dan tidak menggunakan bahan meragukan apatah lagi apabila membabitkan pengendalian makanan halal.

NURAIDAH
NURAIDAH

Jelas beliau, ini kerana banyak bahan mentah terlibat dalam proses pembuatannya selain permintaan warna yang pelbagai daripada pelanggan.

“Dari segi bahan mentah misalnya ada yang kritikal seperti bahan antikempal untuk mengelakkan lekatan antara satu jari dengan jari yang lain, selain bahan antibuih untuk memastikan sarung tangan dihasilkan cantik, licin dan tidak berbuih.

“Dalam industri makanan, terdapat penggunaan bahan antibuih yang ada unsur-unsur haiwan, jadi memang kena ada pengesahan halal,” katanya ketika menjadi panel dalam Persidangan Eksekutif Halal Kebangsaan 2024 di Bangi, Selangor pada Rabu.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata demikian ketika mengulas tentang cabaran sumber bahan dalam skim halal barang gunaan yang mana tahap kesedaran terhadap sarung tangan halal masih lagi rendah dalam kalangan masyarakat.

Dalam pada itu, Nuraidah menjelaskan, sebelum sarung tangan dibentuk, jelas acuan tangan perlu dicuci dengan menggunakan berus yang memenuhi spesifikasi halal.

“Sarung tangan halal bukan semata-mata untuk tujuan perniagaan, tetapi banyak manfaatnya kepada kita.

NURAIDAH (dua, kanan) ketika menjadi panel dalam Persidangan Eksekutif Halal Kebangsaan 2024 di Bangi, Selangor pada Rabu.
NURAIDAH (dua, kanan) ketika menjadi panel dalam Persidangan Eksekutif Halal Kebangsaan 2024 di Bangi, Selangor pada Rabu.

“Penggunaan sarung tangan berhubung secara langsung dengan kulit kita. Jika kita mahu menjaga semuanya, penting untuk kita mendapatkan sarung tangan halal,” katanya.

Kossan International mendapat Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) bagi sarung tangan skim bahan gunaan (industri bukan perubatan) daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) pada 2017, sebelum mendapat pensijilan halal bagi sarung tangan skim produk peranti perubatan pada 2022.

Selain itu, sarung tangan Kossan International turut mendapat pengiktirafan halal daripada Majlis Ulama Indonesia dan Emiriah Arab Bersatu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!