Kerajaan digesa keluar kenyataan rasmi insiden gegaran di Ipoh

Pas Perak gesa kerajaan siasat insiden gegaran dan dentuman kuat yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh, Isnin lalu.
Pas Perak gesa kerajaan siasat insiden gegaran dan dentuman kuat yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh, Isnin lalu.
A
A
A

IPOH - Pas Perak menggesa kerajaan melakukan siasatan menyeluruh berhubung insiden gegaran dan dentuman kuat yang dirasai di beberapa kawasan sekitar Ipoh, Isnin lalu.

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria berkata, kenyataan rasmi perlu dibuat bagi menjawab persoalan kejadian yang telah berlaku setiap enam tahun dan kini kekal misteri.

"Mengikut sumber, kejadian letupan ini pernah berlaku pada tahun 2012, 2018 dan 2024 yang berlaku pada masa yang sama sekitar jam 11 pagi. Ini bermakna ia berlaku enam tahun sekali untuk kali ketiga.

"Pas Perak mengikuti penafian dari pelbagai pihak terhadap teori letupan misteri tersebut termasuk yang terkini pihak TUDM menafikan kemungkinan kesan 'super sonic' susulan teori seorang pakar baru baru ini.

"Pihak Jabatan Mineral dan Geosains (JMG), Pejabat Daerah Tanah (PDT), Pasukan Gerak Am (PGA), Tentera Udara Di Raja (TUDM), Akademik Tentera Udara (ATU), Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) termasuk polis turut menafikan insiden itu," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut Razman, kenyataan rasmi itu penting untuk rujukan dan kebertanggungjawaban terhadap sebarang tindakan yang bakal berlaku.

"Penafian pihak berkuasa yang berkaitan tidak membawa apa apa makna selagi tiada suatu kenyataan rasmi dari pihak kerajaan.

"Pas Perak bersama penduduk sekitar bandar Ipoh inginkan penjelasan kerajaan dan pihak berkuasa berikutan ia suatu misteri yang tiada penjelasan sehingga kini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian melaporkan satu gegaran kuat dirasai di beberapa kawasan di sekitar Ipoh antaranya di Tasek, Stadium Perak, Meru, Falim dan Manjoi serta pengguna Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) dekat Terowong Menora sekitar jam 11 pagi pada Isnin.

Gegaran yang berlaku dalam tempoh beberapa saat itu turut disusuli dengan bunyi dentuman yang kuat hingga mengakibatkan orang ramai terkejut dan cemas.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!