Situasi di Lubnan: Belum ada keputusan pengunduran pasukan pengaman
SEREMBAN - Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu(PBB) belum membuat keputusan untuk membawa keluar pasukan pengamannya di Lubnan walaupun situasi di negara itu yang semakin tegang.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya telah mengadakan perbincangan mengenai perkara itu dengan PBB serta sentiasa memantau keadaan Pasukan Batalion Malaysia (MALBATT) 850-11 di sana.
"MALBATT ini di bawah mandat PBB dan ada berbelas-belas negara yang menyertai Pasukan Interim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNIFIL).
"Jadi, PBB yang akan buat pengunduran secara bersama dan Malaysia tidak boleh buat keputusan secara bersendirian. Tapi kita telah suarakan agar PBB melihat melalui Majlis Keselamatannya," katanya ditemui pemberita selepas Majlis Penyampaian Sumbangan Parlimen Rembau di Dewan Orang Ramai Rantau di sini pada Rabu.
Beliau berkata demikian ditanya pemberita sama ada Kementerian Luar ada mengadakan perbincangan dengan United Nation untuk membawa pulang pasukan MALBATT.
Menurutnya, Wakil Tetap Malaysia ke PBB sentiasa berbincang mengenai perkembangan di sana dan apa saja keputusan akan dimaklumkan kepada Kementerian Pertahanan.
Bagaimanapun katanya, segala perancangan untuk membawa keluar pasukan itu telah pun dibuat dan hanya menunggu perkembangan lanjut.
"Buat masa ini belum ada(bawa keluar pasukan pengaman PBB). Tapi dia punya modus operandi, advokasi plan itu semua dah siap, nak bawa ke mana dan sebagainya cuma nak 'tigger' bila saja.
"Bila saja 'ground komander' yang berada di sana maklum mereka mesti dikeluarkan, maka gerakan membawa keluar tentera pengaman PBB termasuk dari Malaysia akan dibuat secepat mungkin," katanya.
Dalam pada itu beliau berkata, akan hadir ke Persidangan Ketua-ketua Kerajaan Komanwel (CHOGM) ke-27 di Apia, Samoa pada petang ini.
Mohamad berkata, antara yang akan disuarakannya adalah mahu negara-negara Komanwel memperjuangkan hak asasi manusia dan pembunuhan beramai-ramai yang berlaku di Gaza.
"Kalau kita boleh tamatkan dasar aparteid di Afrika Selatan dahulu, mengapa tidak kita lakukan perkara sama di Palestin atau Gaza.
" Ini suara yang saya akan bawa mewakili Perdana Menteri untuk kita pastikan keberadaan negara-negara Komanwel ini dapat dirasai oleh dunia," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!