Acu sabit rompak wanita

Suspek ditahan di kawasan sawah padi berhampiran rumahnya.
Suspek ditahan di kawasan sawah padi berhampiran rumahnya.
A
A
A

TUMPAT- Seorang lelaki ditahan beberapa jam selepas merompak seorang peniaga nasi dengan mengacukan sebilah sabit sebelum melarikan barang kemas milik wanita itu.

Kejadian berlaku di sebuah rumah di Kampung Kebakat, Palekbang pada jam 8 pagi tadi ketika wanita berusia 26 tahun itu berada di bilik air bersama anaknya.

Ketua Polis Daerah Tumpat, Superintenden Ab Rashid Mat Daud berkata, suspek yang memakai topeng muka masuk ke rumah itu melalui pintu dapur sebelum bertindak mengacukan sabit ke arah mangsa dan meminta gelang tangan yang dipakai wanita itu.

“Mangsa yang ketakutan terus memberi gelang tersebut dan suspek kemudiannya meminta wang tetapi segera beredar kerana mangsa memaklumkan tidak mempunyai wang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata, mangsa kemudian menghubungi suaminya dan menceritakan kejadian itu serta memberitahu ciri-ciri pelaku terbabit.

Suspek yang ditangkap selepas dipercayai merompak mangsa di rumahnya di Tumpat.
Suspek yang ditangkap selepas dipercayai merompak mangsa di rumahnya di Tumpat.

“Suami mangsa yang mengesyaki seorang individu terus pergi ke rumah lelaki berkenaan dan secara kebetulan dia berada dalam keadaan mencurigakan bersama senjata sabit lalu dia menghubungi polis.

“Ketika itu lelaki terbabit cuba melarikan diri ke arah sawah padi bersama sabit tetapi berjaya ditangkap dengan bantuan orang awam,” katanya.

Artikel Berkaitan:

AB Rashid memberitahu, selepas itu suspek menunjukkan lokasi dia menyembunyikan seutas rantai tangan emas yang dipercayai dirompak daripada wanita berkenaan kepada anggota polis.

“Suspek sebelum ini mempunyai rekod lampau berkaitan dadah dan ujian urin mendapati positif dadah jenis metamphetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 392/397 Kanun Keseksaan kerana rompakan bersenjata tajam,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!