Tidak perlu letak jawatan, bezakan fungsi politik dan tugas - Mahfuz

Mahfuz (tengah) beramah mesra bersama wakil penerima bantuan tabung bencana tanaman padi dan penyerahan peruntukan program ladang benih pada Rabu.
Mahfuz (tengah) beramah mesra bersama wakil penerima bantuan tabung bencana tanaman padi dan penyerahan peruntukan program ladang benih pada Rabu.
A
A
A

ALOR SETAR - Ahli politik yang dilantik mempengerusikan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) atau syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) tidak perlu melepaskan jawatan politik masing-masing.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, mereka hanya perlu membezakan antara fungsi sebagai ahli politik dan peranan dalam melaksanakan tugas di GLC berkenaan.

Menurutnya, sempadan antara dua entiti tersebut perlu jelas agar tidak bertindih dan menjejaskan kepentingan masing-masing.

“Bagi saya, ahli politik itu tidak perlu lepaskan jawatan. Dia harus membezakan antara kepentingan politik dengan melaksanakan tugas di GLC atau agensi masing-masing.

"Yang penting mereka harus bijak letakkan sempadan antara kerja dengan hak berpolitik,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis penyerahan bantuan tabung bencana tanaman padi (kemarau) dan penyerahan peruntukan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) Rolling Plan ke-4 bagi program ladang benih, di sini pada Rabu.

Mahfuz percaya, individu berkenaan tidak akan membawa pengaruh politik dalam melaksanakan tugasnya di agensi terlibat, selain harus bersikap telus dan amanah.

“Dia nak bawa pengaruh politik apa? Tugas dia ialah bawa pengaruh untuk majukan GLC untuk mengangkat GLC dan agensi ke arah keuntungan. Asalkan tidak ada keputusan yang dibuat itu berdasarkan kepentingan politik.

“Saya percaya sebarang keputusan dibuat berasaskan kepada skop GLC sebab dia nak untung. Operasi GLC berorientasikan keuntungan dan dia perlu letak sasaran serta pastikan bawa keuntungan dalam GLC, bukan keuntungan kepada parti politik,” jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Mahfuz tidak menafikan turut menerima kecaman apabila beliau dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) namun tidak mengambil endah perkara berkenaan.

“Kecaman itu biasa, yang penting saya tahu tentang tugas saya sebagai naib presiden parti dan tugas saya sebagai pengerusi agensi.

“Yang penting saya bekerja dalam satu pasukan lembaga pengarah, saya bukan boleh buat keputusan seorang-seorang,” katanya lagi.

Sebelum ini, Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan menyatakan ahli politik perlu melepaskan jawatan dan afiliasi parti sebelum dilantik ke GLC untuk mengelakkan konflik kepentingan serta memastikan pengurusan bebas dari pengaruh politik.

Jelasnya, langkah itu penting bagi memastikan ahli politik fokus kepada tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan penggubal undang-undang yang baik.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini menjelaskan, pelantikan ahli lembaga pengarah GLIC dan GLC akan berdasarkan kelayakan, termasuk untuk ahli politik.

Anwar turut menyebut pelantikan akan memberi keutamaan kepada golongan profesional, namun tidak mendiskriminasi ahli politik jika mereka memenuhi syarat kelayakan dan melepasi tapisan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Bank Negara, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan polis.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!