Kraftangan Malaysia perkenal aplikasi COTG

Mohd Hafiz (kiri) menunjukkan batik yang disiapkan di bengkelnya.
Mohd Hafiz (kiri) menunjukkan batik yang disiapkan di bengkelnya.
A
A
A

TUMPAT - Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) memperkenalkan aplikasi Craft On The Go (COTG) bagi memudahkan peminat seni dan kraf mencari lokasi pusat jualan dan bengkel usahawan kraf di seluruh negara.

Penolong Pengarah Kraftangan Malaysia Cawangan Kelantan, Mohd Hafiz Abdul Halim berkata, aplikasi berkenaan merupakan satu direktori dan geolokasi usahawan kraf dalam bentuk aplikasi mudah alih.

Beliau memberitahu, sehingga kini terdapat lebih 2,300 usahawan kraf yang berjaya dikumpulkan dalam aplikasi berkenaan.

"Kesemua mereka merupakan usahawan tekstil, hasil rimba, logam, aneka kraf dan hasil tanah," katanya ketika ditemui di pusat jualan dan bengkel batik milik Ibrahim Deraman, Adiguru Kraf Batik Blok di sini pada Rabu.

Menurut Mohd Hafiz, lebih 3,000 aplikasi itu sudah dimuat turun sejak diperkenalkan empat tahun lalu sekali gus membuktikan sambutan daripada peminat kraf.

Jelas beliau, COTG merupakan satu inisiatif pendigitalan kraf bagi meningkatkan kebolehcapaian maklumat berkaitan usahawan kraf.

"Kandungan yang boleh didapati melalui COTG ialah profil usahawan kraf, maklumat produk, platform media sosial usahawan kraf dan lokasi pusat jualan.

"Pengguna juga boleh menggunakan aplikasi itu bagi menghubungi usahawan kraf secara terus untuk ke lokasi pilihan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Jelas beliau, kemudahan COTG memberi banyak manfaat kepada pengguna untuk mendapatkan produk kraf usahawan tempatan yang secara tidak langsung membantu mempromosi dan mengkomersialkan produk kraf Malaysia.

Selain COTG, Kraftangan Malaysia juga membangunkan platform digital MYCRAFTSHOPPE dengan menawarkan perkhidmatan jualan beli secara dalam talian.

Sementara itu, Ibrahim mengakui COTG membantu meningkatkan jualan batiknya sejak menyertainya pada 2020.

Beliau berkata, aplikasi itu sangat berkesan dan memudahkan pelancong datang ke bengkelnya.

"Kaedah ini ini juga mampu memperkenalkan semua lokasi produk kraf di seluruh negara," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!